Pelakon dan usahawan, Syifa Melvin tampil memohon maaf secara terbuka kepada bekas adik iparnya, Syafiq Azim susulan kontroversi siaran langsung membabitkan pertikaian keluarga mereka baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Threads, Syifa mengakui pihaknya terlalu mengikut emosi sehingga membuat siaran langsung yang mengaibkan bekas suami adiknya, Syida Melvin.
“Dengan penuh rendah diri, kami memohon maaf atas apa yang berlaku. Kami mengaku terlalu beremosi sehingga membuat siaran langsung, sekali gus mengaibkan Shafiq.
“Kepada Shafiq, kami memohon maaf. Kita pernah menjadi sebuah keluarga,” tulisnya.

Dalam masa sama, Syifa turut menyatakan kesediaannya menerima segala kecaman daripada pengguna media sosial sebagai akibat daripada tindakan mereka.
“Kepada netizen, kami menerima segala kecaman kerana itulah harga yang perlu kami bayar.
“Semoga selepas ini hanya perkara yang baik-baik berlaku kepada kita semua,” katanya.

Terdahulu, Syifa tampil mempertahankan Syida selepas pertikaian antara adiknya dengan bekas suami menjadi perhatian ramai, termasuk mempersoalkan tindakan netizen yang meminta ahli keluarga tidak mencampuri urusan berkenaan.
Ibu mereka, Robiah Rahman turut mempertahankan tindakan mengadakan siaran langsung itu dengan menjelaskan bahawa tujuannya adalah untuk memperlihatkan sisi lain bekas menantunya kepada orang ramai.
Untuk rekod, Syida dan Syafiq dilaporkan bercerai talak satu pada 12 Ogos lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Sumber: Threads Syifa Melvin





