
BERGELAR ibu buat kali pertama ternyata membuka satu sisi kehidupan yang berbeza buat penyanyi Amira Othman.
Daripada perlu menyediakan susu, membawa pelbagai keperluan anak setiap kali keluar rumah hinggalah membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga, semuanya kini menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.
Namun, di sebalik perubahan itu, wanita berusia 33 tahun itu mengakui dia menikmati setiap detik perjalanan sebagai ibu kepada anak sulungnya, Muhammad Jarir Umar yang kini hampir mencecah usia tiga bulan.

“Saya rasa sama seperti ibu yang lain. Bergegas sana sini setiap hari, jaga anak lagi. Tapi saya sangat enjoy. Saya rasa ini perjalanan yang saya enjoy.
“Dalam masa yang sama banyak benda yang saya belajar,” katanya.
Menurut Amira, antara perkara yang paling dirasainya kini ialah bagaimana kehadiran si kecil mengubah rutin harian, termasuk ketika mahu keluar dari rumah.
Jika dahulu urusan keluar lebih mudah, kini banyak perkara perlu disediakan terlebih dahulu termasuk susu dan barangan keperluan Jarir.
“Dulu tak tahu nak keluar. Sekarang kena sediakan anak, kena prepare susu. Nak keluar sekarang banyak barang kena bawa.
“Itu benda-benda yang saya rasa menarik untuk saya belajar. Saya melalui macam ibu-ibu yang lain juga. Sebab itu saya rasa saya enjoy,” ujarnya.
Baginya, pengalaman bergelar ibu juga membuatkan dia lebih memahami betapa besar pengorbanan seorang wanita dalam melalui fasa kehamilan, kelahiran dan membesarkan anak.
“Perasaan yang sampai sekarang saya teringat-ingat. Betullah, syurga di bawah telapak kaki ibu itu pun benar sekali.
“Sebab memang bukan mudah. Saya rasa Alhamdulillah. Saya percaya setiap ibu berbeza, dia punya perjalanan,” katanya.

Tidak terlepas daripada menerima pelbagai soalan mengenai cara penjagaan anak, pelantun lagu Dalam Sujudku itu memilih untuk tidak membandingkan pengalaman seorang ibu dengan ibu yang lain.
Antara persoalan yang sering diterimanya termasuk sama ada melahirkan secara pembedahan atau normal serta memilih susu badan atau susu formula.
Namun, Amira percaya perkara paling penting adalah setiap ibu berusaha memberikan yang terbaik mengikut keadaan masing-masing.
“Semua ibu-ibu nak bagi yang terbaik untuk anak-anak. Tak kisahlah, janji kita dapat bagi anak kenyang, kita dapat protect anak kita.
“Kita melahirkan dengan sihat, insya-ALLAH kita dah buat yang terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Amira turut berkongsi keadaan Jarir yang kini hampir memasuki usia tiga bulan. Menurutnya, doktor memaklumkan ketinggian anaknya lebih daripada ukuran biasa bagi usianya, yang mungkin mengikut susuk tubuh bapanya.
“Alhamdulillah saya rasa memudahkan saya. Saya harap mudah-mudahan anak saya sihat selalu,” katanya.
Dalam pada itu, Amira dan suaminya, Fattah Amin masih belum bersedia untuk berkongsi wajah Jarir kepada umum.
Amira menjelaskan keputusan itu bukan bermaksud mereka mahu menyembunyikan anak, sebaliknya lebih kepada menjaga privasi dan keselamatan si kecil pada usia sekarang.
“Insya-ALLAH, saya ikut Fattah. Kalau Fattah rasa sudah boleh dedahkan wajah Jarir, kita akan dedahkan.
“Sebenarnya, kami tidak mahu sembunyikan anak. Kami bawa dia ke mana-mana, cuma buat masa sekarang, kami rasa belum sesuai berkongsi lebih banyak mengenai dia,” katanya.

Buat masa ini, Amira memilih untuk menikmati sahaja fasa baharu dalam hidupnya sebagai seorang ibu, sambil belajar menyesuaikan rutin antara keluarga dan kerjaya.
Sekadar makluman, Fattah dan Amira mendirikan rumah tangga pada 14 September tahun lalu di Sepang, Selangor. Baru-baru ini oasangan tersebut menimang cahaya mata sulung selepas Amira selamat melahirkan cahaya mata pertamanya pada 22 Jun lalu.






