
Kota Kinabalu: Kanada berminat memperkukuh kerjasama dengan Sabah dalam pelbagai bidang sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Kanada dan Malaysia.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Jodi Robinson berkata lawatannya ke Sabah bertujuan mendapatkan pandangan kepimpinan negeri mengenai bidang yang berpotensi untuk diterokai serta peluang meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
“Tujuan lawatan saya ke sini adalah untuk mendapatkan pandangan daripada Tuan Yang Terutama.
“Seterusnya bertemu dengan Ketua Menteri bagi membincangkan bagaimana Kanada boleh menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Sabah.
“Kami juga berhasrat mengenal pasti bidang-bidang yang boleh dipertingkatkan serta peluang untuk mewujudkan hubungan dua hala yang lebih meluas,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, Rabu.
Menurut Jodi, pertemuan berkenaan merupakan langkah awal kepada perbincangan lebih menyeluruh dalam usaha membina hubungan yang lebih erat antara Kanada dan Sabah.
Katanya, usaha itu juga selaras dengan hasrat memperkukuh hubungan Kanada-Malaysia menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 2027.
“Ini adalah titik permulaan kepada hubungan yang saya harapkan akan membuahkan hasil yang sangat baik pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau turut berharap dapat kembali ke negeri ini pada masa akan datang bersama syarikat-syarikat Kanada bagi meneroka peluang kerjasama dan pelaburan yang berpotensi.
Turut hadir, Kaunselor Hal Ehwal Politik, Ekonomi dan Awam, Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Leigh McCumber serta Pegawai Advokasi (Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Awam) Suruhanjaya Tinggi Kanada, Dayalan S. Rajoo.






