
LANGKAH Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) memperluas segmen kediaman bertingkat tinggi di Elmina City Centre memasuki fasa penting apabila Kanopi Residences, pembangunan kediaman bertingkat tinggi pertama kumpulan itu di kawasan berkenaan, mencapai penyiapan struktur.
Pencapaian tersebut bukan sekadar menandakan projek setinggi 36 tingkat itu mencapai tahap ketinggian maksimum, malah mengukuhkan lagi usaha Sime Darby Property dalam mempelbagaikan penawaran kediaman di City of Elmina, khususnya menerusi konsep pembangunan bandar bersepadu dan berorientasikan komuniti.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM299 juta, Kanopi Residences membabitkan 499 unit kediaman pegangan bebas dan dijadualkan siap pada suku ketiga 2027.
Menariknya, projek yang dilancarkan pada suku keempat 2024 itu kini mencatat kadar pengambilan sebanyak 90 peratus, mencerminkan penerimaan pasaran yang menggalakkan terhadap konsep kediaman bertingkat tinggi di Elmina City Centre.
Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Bandar Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, pencapaian penyiapan struktur itu membuktikan komitmen kumpulan dalam memastikan projek berkualiti disiapkan mengikut jadual.
“Pencapaian ini adalah hasil usaha keras semua pihak yang terlibat, daripada perunding dan kontraktor hingga pasukan projek yang bekerjasama bagi memastikan pencapaian penting ini dapat direalisasikan dengan selamat dan mengikut jadual.
“Lebih penting, ia mencerminkan komitmen Sime Darby Property untuk menyampaikan pembangunan berkualiti mengikut jadual serta memenuhi kepercayaan yang diberikan oleh pembeli,” katanya.
Menurut beliau, Kanopi Residences turut menjadi sebahagian daripada visi Sime Darby Property untuk membangunkan konsep bandar 15 minit di Elmina City Centre, dengan kemudahan harian seperti pusat komersial, sekolah, taman dan rangkaian kebolehcapaian berada dalam jarak berjalan kaki atau berbasikal.
Kanopi Residences direka dengan mengambil inspirasi daripada Hutan Simpan Bukit Cherakah berhampiran, menerusi konsep kehidupan yang mengintegrasikan elemen alam semula jadi dalam persekitaran kediaman.
Pembangunan itu menawarkan lebih 35 kemudahan bertemakan kesejahteraan, termasuk Co-Working in the Sky, Lounge in the Sky dan Fitness in the Sky, selain kemudahan rekreasi dan komuniti di Aras 7.
Unit kediaman ditawarkan dalam keluasan antara 550 hingga 1,200 kaki persegi dengan susun atur pelan terbuka yang fleksibel, menyasarkan golongan profesional muda, pembeli rumah pertama serta keluarga yang baru membina kehidupan.
Dari segi lokasi, Kanopi Residences mempunyai akses ke Lebuhraya Koridor Guthrie dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
Elmina Lakeside Mall pula terletak kira-kira 300 meter dari pembangunan itu, memberikan penghuni akses mudah kepada kemudahan peruncitan, makanan dan barangan keperluan harian.
Selain itu, Elmina Central Park seluas 121.4 hektar yang berada dalam jarak berjalan kaki menyediakan pelbagai taman termasuk taman bandar, komuniti, seni dan budaya, hidupan liar, hutan serta sukan yang dihubungkan melalui koridor biodiversiti sepanjang lima kilometer.
Dalam pada itu, kadar pengambilan 90 peratus sejak pelancaran pada suku keempat 2024 menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap pembangunan tersebut.
Kanopi Residences turut menerima pengiktirafan industri apabila meraih Anugerah Emas dalam kategori Best Lifestyle High-Rise Development pada PropertyGuru Asia Property Awards Malaysia 2025, sekali gus mengiktiraf pendekatan reka bentuk dan konsep kediaman yang diketengahkan.
Dengan penyiapan struktur kini dicapai, Kanopi Residences dijangka menjadi antara komponen penting dalam memperkukuh penawaran kediaman di Elmina City Centre, di samping menyokong aspirasi Sime Darby Property untuk mewujudkan komuniti yang mampan, bersepadu dan berdaya huni.
Pembangunan itu juga bakal menjadi pemangkin kepada evolusi Elmina City Centre yang meliputi kawasan seluas 141.64 hektar sebagai sebahagian daripada pelan induk City of Elmina seluas 2,630.46 hektar. – UTUSAN
The post Kanopi Residences inspirasi daripada hutan simpan appeared first on Utusan Malaysia.






