
WASHINGTON: Kumpulan pengangkut pesawat baharu Amerika Syarikat (AS) telah tiba di Asia Barat, menurut pengumuman tentera AS pada Khamis.
Ia tiba selepas keadaan di atas kapal pengangkut pesawat yang telah lama dikerahkan mencetuskan kritikan baharu terhadap perang Presiden Donald Trump terhadap Iran.
“Kumpulan Tempur Kapal Pengangkut Pesawat (USS) George Washington kini beroperasi di Asia Barat dalam penugasan yang telah dijadualkan selepas tiba di kawasan operasi CENTCOM (Markas Pusat AS) semalam,” kata CENTCOM yang menyelia pasukan AS di Asia Barat, dalam satu hantaran di X.
Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas laporan media mengenai keadaan buruk di atas kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln yang telah dikerahkan sejak November 2025 menjadi gangguan yang tidak diingini bagi Trump ketika beliau cuba mempertahankan perang yang sememangnya tidak popular itu.
Beberapa media, termasuk penerbitan khusus berkaitan ketenteraan, memetik saudara-mara anggota kru sebagai berkata bahawa keadaan kehidupan di atas kapal Lincoln semakin teruk, termasuk kekurangan makanan dan masalah sistem paip yang rosak.
Trump menolak kebimbangan tersebut tetapi mengesahkan bahawa sebuah lagi kapal pengangkut pesawat akan menggantikan Lincoln.
USS George Washington yang berpangkalan di Jepun sebelum ini beroperasi di Lautan Pasifik.
Perpindahan itu bermakna tiada lagi kapal pengangkut pesawat AS di rantau Pasifik, yang memberikan kelebihan kepada China yang semakin tegas dalam memperluas pengaruhnya.
Lincoln meninggalkan California pada November 2025 untuk menjalankan tugas di Laut China Selatan sebelum dialihkan ke Asia Barat menjelang serangan AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada akhir Februari. – AFP
The post Kapal pengangkut pesawat AS tiba di Asia Barat appeared first on Utusan Malaysia.





