
JAKARTA, 3 OGOS: Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais Indonesia (Bea Cukai) mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergerakan seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan minggu lepas kerana disyaki menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis ekstasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Video yang dimuat naik ke akaun Instagram rasmi Bea Cukai pada Isnin itu menunjukkan suspek berusia 39 tahun berkenaan, yang memakai pakaian seragam juruterbang, mengambil sebuah beg pakaian berwarna perak bersaiz besar dari tempat pengambilan bagasi sambil menarik sebuah lagi beg berwarna hitam, sebelum berjalan melalui ruang ketibaan menuju ke kawasan pemeriksaan kastam.
Menurut naratif video tersebut, suspek memasuki lorong khas pantas untuk kru penerbangan sebelum diarahkan ke bilik pemeriksaan kastam bagi pemeriksaan lanjut, setelah pegawai mengenal pastinya melalui proses pemprofilan risiko.
Rakaman itu kemudian beralih kepada proses pemeriksaan bagasi yang memaparkan pegawai kastam membuka beg berwarna perak tersebut dan mengeluarkan pakaian serta barangan lain, sebelum menemukan beberapa bungkusan berwarna perang yang disembunyikan di bahagian bawah.
Rakaman jarak dekat menunjukkan pegawai kastam memeriksa dan mengeluarkan bungkusan daripada beg pakaian sementara suspek disoal siasat semasa pemeriksaan itu dijalankan.
Video tersebut berakhir dengan pegawai menunjukkan sebotol kecil cecair yang, menurut naratif dalam video itu, didakwa sebagai air kencing palsu dipercayai bertujuan untuk memanipulasi keputusan ujian air kencing.
Pihak berkuasa Indonesia, dalam satu sidang media pada Jumaat, menyatakan juruterbang warga Malaysia itu ditahan pada 29 Julai selepas didakwa cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis ekstasi, yang bernilai sekitar Rp60 bilion (Rp1 juta=RM225.20) ke dalam negara itu.
Pihak berkuasa turut mendakwa juruterbang tersebut didapati positif MDMA, metamfetamina dan kokain, pernah menyeludup dadah ke Indonesia sebelum ini, serta menyalahgunakan sistem pengendalian bagasi khas kru dengan menyembunyikan dadah tersebut di bawah pakaian di dalam beg yang mempunyai tag tuntutan bagasi kru.
Siasatan awal turut menunjukkan suspek dijanjikan bayaran RM50,000 untuk melaksanakan operasi penyeludupan itu, sementara pihak berkuasa terus memburu individu yang disyaki sebagai dalang di sebalik sindiket berkenaan.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan pada Isnin bahawa ia telah diberikan akses konsular kepada warga Malaysia tersebut dan telah menghubungi keluarganya.
Secara berasingan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada Isnin menegaskan semula komitmennya untuk menyokong usaha pelbagai agensi dalam melindungi sempadan Malaysia daripada aktiviti haram, sambil menyatakan kesediaan untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan berhubung kes tersebut serta terus bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa.


![[VIDEO] Kastam Indonesia siar rakaman juruterbang MAS ‘kantoi’ seludup 26kg dadah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-03-at-20.09.09-1024x689.jpeg)



