Tidak wajar jika mansuh AUKU, tetapi ‘takutkan’ mahasiswa dengan undang-undang lain – Muda

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 1:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tidak wajar jika mansuh AUKU, tetapi ‘takutkan’ mahasiswa dengan undang-undang lain – Muda

JOHOR BAHRU: Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) perlu dilaksanakan sepenuhnya dan bukan sekadar janji kosong semata-mata.

Ketua Biro Rangkaian Generasi Muda Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Adom Teh berkata, pemansuhan itu juga perlu memastikan golongan berkenaan tidak terikat dengan undang-undang lain yang boleh mewujudkan budaya takut dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, reformasi sebenar bukan sekadar janji lisan atau kenyataan politik, tetapi mesti diterjemah melalui tindakan dan perubahan undang-undang.

“Muda hargai kesediaan kerajaan untuk memansuhkan AUKU. Namun, kesediaan sahaja tidak mencukupi. Pemansuhan AUKU perlu dibawa ke Parlimen dan diluluskan. Selagi perkara tersebut belum dilaksana, saya tidak menganggap proses reformasi ini telah selesai.

“Kami akan tunggu pelaksanaan, bukan sekadar mendengar pengumuman,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Belia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan Persekutuan akan memansuhkan AUKU ketika berucap pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Tambah Adom, pemansuhan AUKU sahaja tidak mencukupi sekiranya mahasiswa masih berdepan tekanan atau tindakan melalui undang-undang lain.

“Sebagai contoh, penggunaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap mahasiswa kerana menyuarakan pandangan, kritikan atau pendirian mereka juga perlu diberi perhatian.

“Tidak wajar memansuhkan satu undang-undang yang menyekat mahasiswa, tetapi pada masa yang sama membenarkan undang-undang lain digunakan. Saya percaya kepada autonomi mahasiswa dan kebebasan bersuara yang menyeluruh, termasuk hak mahasiswa untuk berpersatuan, berpolitik, mengkritik kerajaan, mengkritik universiti dan menyuarakan pandangan terhadap isu masyarakat.

“Kebebasan mahasiswa tidak sepatutnya hanya diberikan apabila suara mereka selari dengan kerajaan. Demokrasi sebenar bermaksud mahasiswa juga bebas untuk tidak bersetuju dan mengkritik pihak berkuasa,” katanya. –UTUSAN

The post Tidak wajar jika mansuh AUKU, tetapi ‘takutkan’ mahasiswa dengan undang-undang lain – Muda appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved