Kebakaran Gok Kapur tidak patahkan semangat remaja sambung belajar

12 Jun 2026 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kebakaran Gok Kapur tidak patahkan semangat remaja sambung belajar
Muhammad Arif Haikal (kanan) dan Siti Salmiah (kiri) melihat sisa buku yang hangus dalam kebakaran di Gok Kapur. FOTO ADILA SHARINNI WAHID
Image from: Kebakaran Gok Kapur tidak patahkan semangat remaja sambung belajar
Muhammad Arif Haikal (kanan) yang membantu Siti Salmiah (kiri) memilih baju yang disedekah orang ramai. FOTO ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Di sebalik tragedi kebakaran yang memusnahkan kediaman keluarganya di Kampung Cina, Gok Kapur, Isnin lalu, seorang remaja tetap cekalkan hati bagi meneruskan impian untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kulinari di Melaka bulan ini.

Muhammad Arif Haikal Mohd Termizi, 18, berkata, walaupun rumah yang menjadi tempat berlindung bersama keluarga musnah dalam kejadian itu, semangat untuk menyambung pelajaran tetap tidak luntur.

Menurutnya, dia dijadualkan melapor diri ke Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka bagi pengajian Sijil Kulinari pada 23 hari bulan ini, namun masih belum membeli tiket perjalanan.

“Saya memang dah bersedia untuk sambung belajar dan reda dengan ujian rumah terbakar ini.

“Memang impian saya sejak dulu nak jadi tukang masak, jadi ini masa depan saya dan tak boleh dilepaskan,” katanya ketika ditemui di sini.

Muhammad Arif Haikal merupakan anak sulung daripada dua beradik dan kehilangan bapa pada tahun 2018 akibat kanser usus.

**media[3548792]**

Ibunya, Siti Salmiah Fouzi, 47, seorang suri rumah, kini menanggung kehidupan keluarga dengan bantuan pencen penakat arwah suaminya sebanyak kira-kira RM1,000 sebulan.

Menurut ibunya, kebakaran tersebut memusnahkan keseluruhan rumah termasuk kelengkapan sekolah menengah anak kedua yang berusia 16 tahun namun dokumen penting dan keperluan Muhammad Arif Haikal untuk ke kolej tersebut sempat diselamatkan.

“Kelengkapan persediaan Muhammad Arif Haikal terselamat apabila saya sudah asingkan pakaian dan komputer riba miliknya yang diletakkan di atas meja makan sehari sebelum rumah terbakar.

“Tapi wang simpanan saya kira-kira RM500 tidak sempat diselamatkan dan musnah dalam kebakaran itu,” katanya.

Menurutnya, mereka kini menumpang di rumah saudara sementara memikirkan langkah seterusnya kerana kediaman asal tidak lagi selamat untuk diduduki.

“Sekarang kami memang perlukan tempat tinggal baharu dan bantuan untuk deposit sewa rumah kerana hampir semua musnah.

“Termasuk juga tiket bas kami berdua untuk saya hantar Muhammad Arif Haikal ke Melaka,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Siti Salmiah Maybank 151240404779.

Dalam kejadian beberapa hari lalu, kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur memusnahkan 27 rumah penduduk dan menyebabkan 130 keluarga terlibat kini menumpang di rumah saudara serta pusat pemindahan sementara di Masjid Mukim Banggol.