KOTA BHARU – Haiwan peliharaan dan ternakan yang cedera dalam kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur, di sini menerima rawatan segera daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan pada Rabu.
**media[3546335]**
Pengarah JPV Kelantan, Dr Yashasmida Yaacob berkata, pihaknya menggerakkan seramai 10 anggota ke kawasan terlibat bagi meninjau keadaan haiwan peliharaan serta ternakan yang mungkin memerlukan bantuan dan rawatan segera.
“Setakat ini, kami menjalankan rawatan terhadap 10 ekor kucing yang mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk luka, penyakit kulit dan kecederaan akibat melecur.
“Selain rawatan, kami turut membawa bekalan makanan haiwan sebagai bantuan segera kepada pemilik yang terkesan akibat kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, setakat ini hasil temu bual dengan pemilik mendapati dua kucing peliharaan rentung dan seekor melecur, selain seekor itik yang hampir mati akibat lemas kerana terhidu asap.
“Selain haiwan peliharaan, tiada ternakan berskala besar seperti lembu atau kambing dikenal pasti terjejas dalam kejadian tersebut,” katanya.
**media[3546336]**
Dr Yashasmida berkata, JPV Kelantan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan sekiranya terdapat penduduk yang mempunyai haiwan peliharaan atau ternakan yang memerlukan rawatan susulan.
“Mana-mana penduduk yang mempunyai haiwan yang cedera, lemah atau memerlukan pemeriksaan kesihatan boleh menghubungi pejabat veterinar berhampiran atau memaklumkan kepada kami untuk tindakan lanjut.
“Bantuan seperti ini adalah sebahagian daripada tindakan pascabencana yang dilaksanakan jabatan bagi memastikan kebajikan haiwan turut diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata, JPV sebelum ini turut melaksanakan operasi serupa di kawasan yang terjejas akibat banjir bagi memberikan rawatan kepada haiwan dan ternakan yang mengalami masalah kesihatan selepas bencana.






