KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli melawat tapak kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini yang memusnahkan 29 buah rumah pada malam Rabu.
Baginda turut menyantuni mangsa kebakaran serta mengurniakan sumbangan kepada mereka yang terlibat.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook rasmi beliau.
"Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V atas keprihatinan dan limpah perkenan berangkat pada malam ini menyantuni rakyat jelata ditimpa musibah kebakaran di Kampung Gok Kapur.
"Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada saat rakyat berdepan ujian dan kesusahan merupakan manifestasi kasih sayang seorang Raja yang sentiasa dekat di hati rakyat," tulisnya.
**media[3547270]**
Beliau berkata, kehadiran Tuanku bukan sahaja membawa semangat dan kekuatan kepada mangsa-mangsa terlibat, malah menjadi sumber ketenangan serta pengharapan kepada seluruh penduduk yang terkesan.
"Sesungguhnya, rakyat menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Tuanku yang berkenan turun padang meninjau sendiri keadaan mangsa serta menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap musibah berlaku.
**media[3547269]**
"Semoga ALLAH SWT mengurniakan kesejahteraan, keafiatan dan keberkatan yang berpanjangan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku selain terus memayungi negeri, rakyat dengan penuh hikmah serta kebijaksanaan," katanya.






