Kebakaran Sandakan: Beri tumpuan lebih kepada warga tempatan - PM

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 6:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kebakaran Sandakan: Beri tumpuan lebih kepada warga tempatan - PM
Anwar meninjau lokasi bencana kebakaran di Kampung Bahagia dan melawat mangsa yang terjejas di PPR Taman Batu Sapi pada Rabu. Foto Bernama

SANDAKAN - Bantuan kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi akan memberi tumpuan lebih kepada warga tempatan yang terjejas, di samping memastikan aspek kemanusiaan terus diberi perhatian tanpa mengira status kewarganegaraan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang menyegerakan pelbagai bentuk bantuan melalui kerjasama pelbagai agensi bagi meringankan beban mangsa yang terkesan dalam insiden kebakaran besar itu.

"Kalau bencana dari segi kebakaran atau mangsa banjir yang agak terbesar di satu kawasan dalam sejarah negara kita. Jadi sebab itu saya turun sendiri untuk pertamanya memberi semangat dan dorongan. Yang keduanya, tentu berbincang dengan Ketua Menteri dalam langkah-langkah yang harus diambil berikutnya untuk membantu dari segi pembangunan semula perumahan dan sebagainya.

"Walaupun kita tahu agak rumit sedikit kerana sebahagian itu anak-anak tempatan warganegara, sebahagian besar itu bukan warganegara. Tapi tentulah cara dan kaedah penyelesaian itu berbeza.

"Kita terpaksa beri tumpuan lebih kepada warganegara, tapi dalam masa yang sama atas dasar kemanusiaan, saya ucap terima kasih kerana kerajaan negeri memulakan satu rencana membantu tanpa mengira sama ada itu orang warganegara atau bukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat kawasan terjejas serta meninjau sendiri keadaan mangsa kebakaran Kampung Bahagia yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di sini pada Rabu.

Menurut beliau lagi, bantuan yang disalurkan ketika ini turut melibatkan sumbangan daripada kerajaan negeri, Yayasan Kebajikan serta Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Katanya, setiap keluarga terjejas akan menerima bantuan segera RM1,000 daripada kerajaan negeri dan yayasan, manakala kerajaan Persekutuan turut menyalurkan bantuan RM1,000 kepada semua mangsa terlibat.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan juga mempertimbangkan tambahan bantuan sementara sebanyak RM500 menjadikan jumlah keseluruhan RM1,500 bagi setiap keluarga terjejas sebagai langkah awal.

"Kerajaan negeri telah umumkan bantuan, RM1,000 daripada kerajaan negeri, RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan. Jadi saya bagi pihak kerajaan Persekutuan melalui Nadma, kita ada RM1,000 untuk semua yang terlibat.

"Jadi selain daripada RM1,000 yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan dan Nadma, saya akan pertimbangkan untuk menambah sedikit lagi daripada Jabatan Perdana Menteri. Mungkin peringkat awal ini saya sediakan RM500 tambahan lagi, jadikan RM1,500 untuk semua yang terlibat.

"Tapi kita tahu ini bukan penyelesaian, ini hanyalah beberapa langkah sementara dan saya mohon saluran itu disampaikan segera. Saya tidak mahu tertangguh sebab keluarga itu harus mendapat jaminan," katanya.

Mengulas aspek pendidikan, Anwar berkata, keutamaan turut diberikan kepada anak-anak mangsa kebakaran yang terkesan, khususnya berkaitan keperluan persekolahan.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan akan menyegerakan bantuan pakaian seragam sekolah, namun kelonggaran diberikan sementara waktu kepada pelajar untuk hadir ke sekolah tanpa memakai uniform.

"Jadi saya nak bagi tahu dua perkara, pertama, Jabatan Kebajikan akan menyegerakan memberi mereka uniform. Tapi sementara itu, mulai esok mereka harus pergi ke sekolah dan akan ada kelonggaran, tidak perlu pakai uniform sekolah buat sementara waktu.

"Kalau perlu bantuan dari segi kenderaan untuk ke sekolah dan sebagainya, nanti kita pastikan supaya ada usaha. Saya tidak mahu beban satu ditampung oleh beban yang lain dan anak-anak ini kita ketepikan dari segi kemudahan persekolahan mereka," katanya.

Menurut beliau, kerajaan turut memperuntukkan bantuan pendidikan tambahan sebanyak RM300 bagi setiap pelajar terjejas melibatkan 454 murid dari 12 sekolah sekitar kawasan terbabit bagi tujuan pembelian keperluan asas persekolahan.

Anwar turut mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk turun ke lokasi bagi memudahkan urusan penggantian dokumen penting yang hilang atau musnah dalam kebakaran.

Beliau berkata, JPN akan membuka kaunter sementara di kawasan terjejas bagi membantu mangsa mendapatkan semula dokumen seperti MyKad, MyKid, sijil kelahiran, sijil kematian dan sijil perkahwinan tanpa sebarang bayaran.