Kecoh Gambar Anggota Tentera Ditayangkan Di Kelab Malam, Ini Kenyataan TDM

LocalPolitics
5 Jun 2025 • 12:10 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Tentera Darat Malaysia (TDM) sedang menjalankan siasatan ke atas seorang anggotanya susulan tular gambar lelaki berpakaian seragam tentera di sebuah kelab malam sejak Isnin lalu.

Menerusi gambar tular tersebut, memaparkan individu berkenaan berada dalam latar logo Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan tayangan itu didakwa dibuat sempena ulang tahun perkenalan bersama pasangannya.

Sehubungan itu, Sel Perhubungan Raya Markas TDM dalam satu kenyataan semalam berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) bagi mengenal pasti bagaimana insiden itu boleh berlaku.

image is not available

“TDM memandang serius perkara ini dan anggota terbabit sedang disiasat oleh Cawangan Penyiasatan Khas (CPK).”

Menurut kenyataan itu, siasatan akan mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang unsur pencemaran keselamatan sama ada terhadap anggota itu atau terhadap TDM.

TDM turut tidak menolak kemungkinan wujud pembabitan elemen subversif dalam insiden berkenaan.

“Sekiranya terbukti bersalah anggota boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan sedia ada kerana melanggar etika sebagai seorang anggota tentera dan menjejaskan nama baik TDM,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, TDM juga akan mempertingkatkan pemantauan penggunaan media sosial agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

TDM juga menyatakan walaupun paparan tersebut bersifat peribadi, imej sebagai anggota tentera di lokasi dan atas tujuan yang tidak bermoral boleh mengundang persepsi negatif terhadap pasukan.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.