Kerajaan negeri Kedah tidak menolak kemungkinan perlu berdepan tuntutan ganti rugi mencecah ratusan juta ringgit daripada pengusaha premis perjudian berikutan keputusan menghentikan pengeluaran serta pembaharuan lesen premis judi sejak 2023.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bagaimanapun menegaskan kerajaan negeri bersedia mempertahankan dasar berkenaan di mahkamah sekiranya pengusaha yang terkesan mengambil tindakan undang-undang.
“Dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri selepas mahkamah mendapati kita tak ada kuasa itu (mengharamkan judi), kita kena tanggung ganti rugi ini. Ganti rugi itu mungkin banyak sehingga beratus juta.
“Kita bukan tahu syarikat judi untung berapa, kalau tidak depa (mereka) tak pulun (usaha) sampai tahap ini. Tapi kita lawan dulu (di mahkamah) sebab sekupang (10 sen) pun duit kita nak bagi kat syarikat judi, kita lawan sampai dinding,” katanya ketika berucap pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah, malam tadi.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini yang memutuskan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian sebagai tidak sah.

Menurut Muhammad Sanusi, sekiranya pengusaha terbabit menuntut ganti rugi, jumlah kerugian yang didakwa perlu disokong dengan bukti, termasuk rekod pendapatan yang mereka isytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Katanya, perkara itu boleh menjadi asas kepada kerajaan negeri untuk mempertikaikan tuntutan berkenaan sekiranya terdapat percanggahan antara jumlah pendapatan sebenar dan yang dilaporkan kepada LHDN.
“Adakah selama beroperasi di Kedah, mereka isytihar pendapatan sebenar kepada LHDN atau tidak. Kalau tak isytihar dan ada tuntutan mudah nak patahkan. Kalau isytihar, sebanyak mana depa (mereka) isytihar kena bicara di mahkamah, kita perang lagi untuk depa dapat ganti rugi selama kita tidak bagi lesen premis,” jelasnya.
Artikel lain: Isu lesen judi di Kedah: Kalau saya reda dengan mungkar, saya berdosa – Sanusi
Beliau berkata, proses tersebut juga berpotensi membuka gambaran lebih jelas mengenai jumlah keuntungan sebenar yang diperoleh syarikat perjudian sepanjang menjalankan operasi di Kedah.
Muhammad Sanusi menegaskan kerajaan negeri akan terus mempertahankan pendirian berkenaan dan tidak mahu wang kerajaan digunakan secara sewenang-wenangnya bagi memenuhi tuntutan ganti rugi daripada syarikat perjudian.
Sumber: Berita Harian (Norazura Abdul Rahman)




