Kerajaan Kedah mungkin hadapi tuntutan ganti rugi operator judi

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 11:12 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan Kedah mungkin hadapi tuntutan ganti rugi operator judi

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah berkemungkinan akan menghadapi tuntutan ganti rugi daripada pihak operator premis judi yang tidak dibenarkan beroperasi sejak dasar tiada lagi lesen premis dikeluarkan atau diperbaharui bermula 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sekali lagi bersedia untuk mengheret isu tersebut di mahkamah sekiranya tuntutan dikemukakan oleh pengusaha terlibat selepas ini.

“Dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri selepas mahkamah mendapati kita tak ada kuasa itu (mengharamkan judi), kita kena tanggung ganti rugi ini. Ganti rugi tu mungkin banyak sehingga beratus juta. 

“Kita bukan tahu syarikat judi untung berapa, kalau tidak depa tak pulun sampai tahap ini. Tapi kita lawan dulu (di mahkamah) sebab sekupang (10 sen) pun duit kita nak bagi kat syarikat judi, kita lawan sampai dinding,” katanya pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah, malam tadi.

Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian di negeri itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin menolak permohonan itu secara sebulat suara serta memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.

Muhammad Sanusi berkata, ganti rugi tersebut akan mudah untuk dilawan sekiranya pengusaha terbabit tidak mengisytiharkan pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Adakah selama beroperasi di Kedah, mereka isytihar pendapatan sebenar kepada LHDN atau tidak. Kalau tak isytihar dan ada tuntutan mudah nak patahkan. Kalau isytihar, sebanyak mana depa isytihar kena bicara di mahkamah, kita perang lagi untuk depa dapat ganti rugi selama kita tidak bagi Lesen premis.

“Tapi akan terhidang kepada kita nanti berapa syarikat judi untung di Kedah. Mesti dia untung kalau nak isytihar ganti rugi berapa kita kena bayar,” katanya.

Sementara itu, dakwa Muhammad Sanusi, beliau dimaklumkan kononnya terdapat kutipan wang perlindungan kepada aktiviti perjudian haram dalam tempoh lesen-lesen premis perniagaan itu tidak dikeluarkan.

“Ada pihak yang berautoriti beritahu saya perlindungan kepada aktiviti perjudian haram di Kedah sewaktu tempoh lesen-lesen tidak dikeluarkan ini sebulan RM7 juta. Ada orang kutip dan bahagi sama-sama depa,” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan Kedah mungkin hadapi tuntutan ganti rugi operator judi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved