Kedah sedia bangunkan penempatan baharu buat penduduk Bukit Malut

10 Aug 2026 • 3:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kedah sedia bangunkan penempatan baharu buat penduduk Bukit Malut
Sanusi ketika sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Isnin.
Image from: Kedah sedia bangunkan penempatan baharu buat penduduk Bukit Malut
Isu tanah di Bukit Malut kini menjadi semakin rumit apabila penempatan berkenaan berkembang di kawasan yang melibatkan tanah beberapa agensi.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Kedah mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil tanah bagi membolehkan penempatan baharu dibangunkan untuk penduduk Bukit Malut, Langkawi dengan harga rumah di bawah RM200,000.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu dilihat mampu menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap isu penempatan penduduk Bukit Malut yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya bersedia membangunkan rumah untuk penduduk berkenaan sekiranya tanah disediakan, selain penduduk sendiri menyatakan kesediaan untuk membeli kediaman yang bersesuaian.

“Kalau MKN buat pengambilan tanah, anak syarikat kerajaan negeri boleh bangunkan rumah untuk dijual. Mereka sedia membeli.

“Rumah itu kena sekitar RM200,000 ke bawah. Kalau harga sampai RM500,000, kerana kos tanah tinggi, siapa boleh beli? Tidak selesai juga masalah,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas isu tanah dan penempatan di Bukit Malut.

Sanusi berkata, kerajaan negeri menganggarkan kawasan seluas lebih 30 ekar diperlukan bagi membolehkan kira-kira 1,400 rumah dibangunkan untuk penduduk Bukit Malut.

Bagaimanapun katanya, pembangunan kediaman berkenaan perlu mengambil kira cara hidup dan kegiatan ekonomi penduduk yang sebahagian besarnya bergantung kepada aktiviti perikanan.

“Tak boleh buat flat sebab mereka naik pukat susah. Dalam lif itu nanti pukat dengan macam-macam, pendayung sampah dan enjin bot.

“Mereka kena rumah landed (bertanah). Mereka perlu duduk dekat dengan laut kerana aktiviti ekonomi mereka bergantung kepada laut,” ujarnya.

**media[3610852]**

Menurut Sanusi, sebelum ini penduduk Bukit Malut pernah ditempatkan di kawasan Taman Nilam, namun lokasi berkenaan didakwa tidak sesuai kerana terlalu jauh dari laut dan menyukarkan aktiviti nelayan.

Beliau berkata, isu tanah di Bukit Malut kini menjadi semakin rumit apabila penempatan berkenaan berkembang di kawasan yang melibatkan tanah beberapa agensi.

“Tanah itu (milik) Permodalan Kedah Berhad (PKB) anak syarikat kerajaan negeri, tanah Jabatan Hutan dan ada sedikit tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Sekarang ini sudah lajak masuk dalam laut.

“Sudah ada kira-kira 1,200 hingga 1,400 rumah yang didirikan,” katanya.

Sanusi berkata, kerajaan negeri sebelum ini sudah beberapa kali mendesak MKN supaya mengambil tindakan terhadap isu tanah berkenaan, namun penyelesaian menyeluruh masih belum tercapai.

Katanya, kerajaan negeri juga berada dalam keadaan sukar untuk mengambil tindakan terhadap penempatan sedia ada atas faktor kemanusiaan, walaupun terdapat perintah mahkamah berkaitan tanah tersebut.

“Kita ada perintah mahkamah, tetapi kita tak mahu ambil tindakan yang mendatangkan isu lain pula.

“Kemanusiaan itu yang masih menahan kita untuk tidak hilang perikemanusiaan. Sebab itu kita minta MKN selesaikan isu tanah itu. Kita buat rumah dan bagi orang boleh beli,” katanya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved