johardy26/08/2026 - 09:00 Jacob Lee Chor Kok bersama Prof. Dr Haim Hilman Abdullah turut serta dalam Perbincangan Meja Bulat SG4 mengenai PKS Malaysia pada 24 Ogos 2026. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kejayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia tidak lagi memadai diukur berdasarkan pertumbuhan dan keuntungan semata-mata, menurut Perbincangan Meja Bulat SG4 mengenai PKS Malaysia.
Ini kerana pertumbuhan dan keuntungan sahaja tidak menggambarkan sepenuhnya keupayaan PKS untuk bertahan dalam persaingan yang semakin sengit, meningkatkan teknologi dan produktiviti, mendapatkan pembiayaan, memasuki rantaian bekalan syarikat multinasional serta mengekalkan pekerjaan dan kesinambungan perniagaan dalam jangka panjang.
Dalam satu kenyataan media, perbincangan meja bulat itu berkata, bagi sebahagian PKS, kejayaan juga boleh diukur berdasarkan kesinambungan perniagaan merentas generasi, pewujudan peluang pekerjaan dan mata pencarian, daya tahan jangka panjang serta keupayaan menarik pelaburan.
Pendekatan itu mengambil kira hakikat bahawa perusahaan keluarga yang mengutamakan kesinambungan antara generasi, pengilang yang mahu menembusi rantaian bekalan syarikat multinasional dan syarikat teknologi yang mengejar pertumbuhan antarabangsa mempunyai matlamat serta ukuran kejayaan yang berbeza.
Perbincangan meja bulat yang berlangsung pada Isnin itu menghimpunkan pembuat dasar, institusi kewangan, wakil industri serta agensi pembangunan ekonomi negeri.
Ia dianjurkan SG4 Group Sdn Bhd dengan kerjasama agensi promosi pelaburan negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

PKS ketika ini merangkumi kira-kira 97% daripada keseluruhan pertubuhan perniagaan di Malaysia, menyediakan hampir 48% daripada jumlah guna tenaga dan dianggarkan menyumbang antara 38% hingga 39% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Empat keperluan utama PKS
Peningkatan pelaburan asing dan integrasi Malaysia yang semakin meluas dengan pasaran serantau serta global menimbulkan persoalan sama ada PKS tempatan mempunyai keupayaan mencukupi untuk menghadapi persaingan dan mengambil bahagian dalam peluang ekonomi yang diwujudkan.
Perbincangan itu secara khusus meneliti sejauh mana pelaburan asing dan pembangunan yang diterajui syarikat multinasional benar-benar membuka ruang kepada PKS Malaysia untuk menyertai rantaian bekalan tempatan dan global, dan bukannya sekadar meningkatkan tekanan persaingan terhadap perusahaan domestik.
Bagi menangani cabaran itu, Kerangka 4C diketengahkan merangkumi empat keperluan utama bagi membantu PKS mencapai bentuk kejayaan yang bersesuaian dengan matlamat masing-masing:
1. Keupayaan – Memperkukuh penguasaan teknologi, pengurusan, kepakaran, pengetahuan dan kemahiran supaya PKS mampu bersaing dengan lebih berkesan.
2. Modal – Memastikan PKS memperoleh akses bukan sahaja kepada modal kerja, malah pembiayaan bagi menaik taraf teknologi, mengembangkan perniagaan dan menyertai aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
3. Jaringan – Memperkukuh hubungan PKS dengan syarikat multinasional, pelabur, institusi kewangan, pasaran eksport serta rantaian bekalan domestik dan antarabangsa.
4. Pemangkin – Memastikan agensi kerajaan, badan promosi pelaburan dan pemain ekosistem berkaitan berperanan aktif dalam mewujudkan peluang supaya PKS tempatan dapat mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi yang dipacu pelaburan.
Pelaburan asing perlu beri ruang kepada PKS
Antara organisasi yang terlibat dalam perbincangan itu ialah Hong Leong Islamic Bank, EXIM Bank Malaysia, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), CIMB Islamic, Maybank, Invest Kedah, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).
Antara yang hadir ialah Jacob Lee Chor Kok, Presiden FMM, dan Prof. Dr Haim Hilman Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, yang juga Pengerusi SG4 Group Sdn Bhd.
Para panelis turut mengemukakan pandangan institusi masing-masing serta komitmen yang boleh dilaksanakan termasuk menangani jurang keupayaan, memperluas akses pembiayaan, memperkukuh pembangunan vendor dan sumber tempatan serta menghubungkan PKS dengan peluang pasaran domestik dan antarabangsa.
Hasil perbincangan itu akan menjadi asas kepada penerbitan kertas putih SG4 bertajuk “Melangkaui Pertumbuhan: Mendefinisikan Semula Kejayaan PKS dalam Dunia Tanpa Sempadan Namun Tetap Berbatas”.
Kertas putih berkenaan akan menilai kesan pelaburan asing dan persaingan global terhadap PKS Malaysia, mengenal pasti aspek yang perlu diperkasakan serta menentukan pihak berkepentingan yang bertanggungjawab terhadap setiap komponen Kerangka 4C.
Kertas putih susun tindakan seterusnya
Kertas putih itu turut akan menggariskan laluan pertumbuhan yang konkrit dan tersusun, menentukan bagaimana kejayaan PKS boleh diukur serta mengenal pasti kelompok perusahaan yang berisiko tercicir daripada arus pembangunan.
Inisiatif tersebut akan menjadi asas kepada penglibatan dan perbincangan susulan menerusi Forum Ekonomi Perniagaan, selain menyokong tindakan lebih tersusun dalam pembangunan ekosistem PKS.
Perbincangan meja bulat itu berpandangan ekosistem ekonomi dan perniagaan negara perlu mampu menyokong pelbagai laluan menuju kejayaan dan bukannya mengenakan satu ukuran seragam terhadap semua PKS.
Sebuah perusahaan keluarga yang mengutamakan kesinambungan antara generasi, pengilang yang mahu menembusi rantaian bekalan syarikat multinasional, perniagaan yang mengutamakan pekerjaan dan mata pencarian serta syarikat teknologi yang mengejar pertumbuhan antarabangsa mungkin mempunyai matlamat dan ukuran kejayaan berbeza.
"Kejayaan PKS Malaysia bersifat pelbagai, bukan tunggal,” menurut kenyataan itu sambil menegaskan bahawa keupayaan, modal, jaringan dan pemangkin perlu tersedia secukupnya supaya PKS dapat mencapai bentuk kejayaan yang bermakna kepada perniagaan, pekerja, komuniti dan ekonomi negara. - DagangNews.com






