
Kota Kinabalu: Kejayaan bersejarah Sabah memenangi gelaran keseluruhan Sukan Para Malaysia (Para Sukma) yang baru berakhir adalah di luar jangkaan dan juga bukti kerja keras semua pihak yang berkenaan.
Chef de mission Datuk Mansur Asun berkata demikian selepas Sabah, dengan jumlah kutipan 54 emas, 35 perak dan 35 gangsa, menamatkan penguasaan Sarawak yang merangkul 13 kejuaraan berturut-turut sejak temasya itu diadakan di Johor pada 1994.
Juara bertahan itu hanya berjaya memperoleh 50 emas, 47 perak dan 49 gangsa manakala di tempat ketiga ialah Johor dengan 38 emas, 30 perak dan 25 gangsa.
“Kejayaan Sabah muncul juara keseluruhan pada Para Sukma tahun ini hadir sebagai satu kejutan bagi kami kerana kami hanya menyasarkan 40 pingat emas pada awalnya.
“Kami tahu bukan mudah untuk berada di tangga teratas carta pungutan pingat dengan saingan sengit daripada kontinjen lain, tetapi saya rasa latihan yang kami lakukan sejak 2018 telah membuahkan hasil.
“Saya percaya kejayaan ini adalah hasil kerja keras semua yang terlibat termasuk Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Pestron (Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Sabah) serta semua ibu bapa atas sokongan yang diberikan kepada atlet-atlet,” katanya.
Beliau juga berkata semua pemenang pingat akan menerima durian runtuh daripada kerajaan negeri atas sumbangan mereka terhadap kejayaan itu.
“Seperti yang dijanjikan oleh kerajaan negeri, semua atlet yang memenangi pingat pada Para Sukma akan menerima insentif atas pencapaian mereka.
“Bagi pemenang pingat emas, atlet akan menerima insentif RM5,000, manakala pingat perak menerima RM1,500 dan pingat gangsa menerima RM800,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


