
PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani meloloskan diri ke peringkat 16 terbaik, selepas mengetepikan pasangan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley di pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, malam tadi.
Gandingan No. 6 dunia itu yang mendapat bye pada pusingan pertama menewaskan pasangan kembar yang menghuni ranking ke-40 dunia tersebut 21-11, 15-21, 21-16 dalam masa 52 minit di Stadium Tertutup Indira Gandhi.
Pertembungan kedua-dua beregut tersebut adalah yang kedua, selepas mereka bertemu di Terbuka Thailand, Mei lalu, yang juga berpihak kepada Sze Fei-Izzuddin.
Pada peringkat 16 terbaik, bekas beregu No. 1 dunia itu akan berdepan pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin yang merupakan gandingan No. 14 dunia.
Berdasarkan rekod pertemuan bertemu Hsiang Chieh-Chi Lin, Sze Fei-Izzuddin terikat dengan kedudukan 1-1.
Bagaimanapun, dalam aksi terakhir mereka tewas kepada wakil Taiwan tersebut di Terbuka Jerman, Februari lalu.
Sze Fei-Izzuddin tampil pada Kejohanan Dunia kali ini dengan sasaran untuk cuba bergelar juara dunia bagi mengikut jejak langkah rakan seperjuangan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang pernah berbuat demikian pada 2022. – UTUSAN
The post Sze Fei-Izzuddin tempah slot ke peringkat 16 terbaik appeared first on Utusan Malaysia.






