hamden23/11/2026 - 12:32 Kredit gambar www.go.electronics.org Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Kekurangan bekalan papan litar bercetak (PCB) global dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2027, manakala pemulihan bekalan yang ketara tidak dijangka berlaku sebelum pertengahan 2028, susulan lonjakan permintaan daripada industri kecerdasan buatan (AI).
Persatuan Elektronik Global berkata, peningkatan permintaan terhadap PCB berlapisan tinggi untuk pelayan AI kini memberi tekanan besar kepada kapasiti pengeluaran serta bekalan bahan mentah, sekali gus menjejaskan keupayaan industri elektronik memenuhi permintaan pelanggan.
Persatuan yang mewakili industri elektronik global itu berkata, keadaan berkenaan turut meningkatkan risiko gangguan pengeluaran dalam sektor automotif, perindustrian, perubatan, pertahanan dan telekomunikasi apabila syarikat berdepan tempoh menunggu lebih panjang serta kesukaran mendapatkan bekalan.
"Isu utama yang dihadapi industri ketika ini bukan lagi harga, sebaliknya ketersediaan bekalan PCB dan bahan pembuatannya," katanya dalam kenyataan.
Dalam laporan bertajuk PCB Squeeze: A Wake-Up Call for Global Electronics, persatuan itu menjelaskan perubahan struktur permintaan daripada industri AI meningkatkan keperluan terhadap PCB yang lebih kompleks dan menggunakan bahan mentah jauh lebih banyak.
Papan litar bercetak AI miliki 60 lapisan berbanding 12 lapisan PCB biasa
PCB biasa lazimnya mempunyai kira-kira 12 lapisan, berbanding papan litar untuk pelayan AI yang kini menggunakan 40 hingga lebih 60 lapisan.
Setiap lapisan tambahan memerlukan lebih banyak fabrik kaca, resin, kerajang tembaga dan bahan laminat, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap keseluruhan rantaian bekalan.
Data persatuan itu menunjukkan tempahan PCB meningkat 56.1% dalam tempoh setahun sehingga September, sedangkan penghantaran hanya berkembang 13.3%.
Bagi PCB berlapisan tinggi, tempoh menunggu bekalan kini mencecah 16 hingga 20 minggu atau lebih.
Keadaan itu menunjukkan pertumbuhan permintaan jauh mengatasi keupayaan industri meningkatkan pengeluaran, termasuk bekalan bahan yang diperlukan untuk menghasilkan PCB.
Pelaburan baharu belum mampu atasi kekurangan bekalan
Walaupun pengeluar terus meningkatkan kapasiti pengeluaran, usaha itu masih belum mencukupi untuk mengimbangi permintaan yang semakin meningkat. Asia ketika ini menghasilkan lebih 90% daripada keseluruhan PCB dunia.
Persatuan itu berkata, sekurang-kurangnya AS$10 bilion telah dilaburkan dalam pembinaan kilang PCB baharu di Asia Tenggara, manakala jumlah pelaburan sekurang-kurangnya sama besar turut disalurkan ke China dalam tempoh tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, pertambahan kapasiti pembuatan tidak semestinya menyelesaikan kekurangan bekalan kerana pengeluaran baharu masih bergantung kepada fabrik kaca, resin, kerajang tembaga dan bahan laminat yang turut mengalami kekangan.
Di Eropah pula, bahagian pengeluaran PCB global merosot daripada 13.8% pada 2000 kepada hanya 2.2% pada 2023, sekali gus menunjukkan skala pembuatan rantau itu yang semakin kecil dalam industri berkenaan.
Pengusaha skala besar kuasai bekalan, sektor lain berdepan tekanan
Dalam tempoh kekurangan bekalan, penyedia perkhidmatan awan berskala besar yang merupakan pembeli terbesar sedang mengunci bekalan sedia ada.
Keadaan itu menyebabkan pelanggan daripada sektor automotif, perindustrian, perubatan dan pertahanan terpaksa berada di belakang dalam senarai keutamaan bekalan.
Persatuan berkata, kesan kekurangan PCB bukan hanya terhad kepada industri papan litar kerana setiap sistem elektronik bergantung kepada komponen berkenaan.
Justeru, pelaburan dalam semikonduktor dan pemasangan produk akhir tidak dapat memberikan hasil sekiranya bekalan PCB serta bahan yang menghubungkan komponen elektronik tidak mencukupi.
Persatuan itu turut memberi amaran bahawa tahap pendedahan rantaian bekalan ketika ini berpotensi menyamai krisis kekurangan cip semikonduktor yang berlaku pada 2021.
Enam langkah dicadangkan kepada kerajaan
Bagi menangani risiko berkenaan, persatuan itu menggesa pengeluar bekerjasama lebih rapat dengan pelanggan dan pembekal melalui perkongsian unjuran permintaan yang realistik, mengelakkan tempahan berganda serta mendapatkan kelulusan sumber alternatif bagi bahan laminat, prapreg dan kerajang tembaga.
Kerajaan pula disaran menganggap gangguan bekalan PCB sebagai risiko strategik yang memerlukan tindakan segera menerusi enam langkah utama.
Antaranya termasuk mewujudkan sistem amaran awal bagi memantau tempoh menunggu bekalan PCB dan bahan pembuatannya, selain memperluas insentif cukai serta pembiayaan kepada pengeluaran PCB dan substrat termaju.
Persatuan itu turut mencadangkan kerajaan mempercepatkan proses kelulusan pembinaan kapasiti pengeluaran baharu serta meningkatkan pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan bahan alternatif.
Selain itu, mekanisme peruntukan keutamaan perlu diwujudkan bagi memastikan tempahan sektor pertahanan, aeroangkasa, perubatan dan infrastruktur kritikal diberikan keutamaan.
Kerajaan juga digesa menyediakan jaminan pinjaman dan geran bersasar untuk melindungi program kritikal serta pengeluar kecil, khususnya sekiranya pembelian awal bagi mengunci bekalan berkurangan dan permintaan mengalami pembetulan pada 2027. - DagangNews.com






