
Kota Kinabalu: Kelab Bolasepak Kinabalu Jaguar (KJFC) meneruskan prestasi cemerlang mereka dalam saingan Liga M3 dengan kemenangan 5-2 menentang Tun Razak City FC dalam aksi Kumpulan A di Stadium UM Arena, Petaling Jaya pada petang Sabtu lalu.
Bekas pemain Badak, Leopold Alfonso Otong yang keluar daripada persaraan untuk menyertai pasukan itu pada permulaan musim, meledak hatrik dengan gol pertama dijaringkan pada minit ke-12 selepas menerima hantaran Zulkifli Harun dan gol kedua hadir pada minit ke-33 selepas menyudahkan hantaran lintang Ariuddius Jais.
Bagaimanapun kehilangan konsentrasi membolehkan tuan rumah menjaringkan satu gol sebelum tamat separuh masa pertama.
KJFC memulakan babak kedua dengan agresif dan Leopold menjaringkan gol ketiganya pada minit ke-69 untuk mengembalikan kelebihan dua gol sekali lagi dengan bantuan Arius.
Pemain gantian Mohd Jayman Mohd Jaymi kemudian menambah gol keempat dengan jaringan solo sebelum satu lagi kesilapan pertahanan menyaksikan KJFC dibolosi gol kedua pada perlawanan itu, tetapi Mohd Faredz Elham berjaya menafikan kebangkitan tuan rumah dengan gol kelima dua minit sebelum tamat perlawanan untuk memastikan pasukan membawa pulang mata maksimum.
Pasukan itu kini berada di tangga teratas Kumpulan A dengan 35 mata, sementara pencabar terdekat Manjung City FC mengumpul 28 mata tetapi bermain kurang satu perlawanan.
Perlawanan KJFC yang seterusnya adalah menentang Sains FC di Stadium Likas pada 16 Julai.
Sementara itu, dalam saingan Piala Belia, skuad Bawah-19 negeri tewas 1-2 kepada Sarawak United dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Miri pada Sabtu lalu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

