liza11/08/2026 - 16:18 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan mahu Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dipercepatkan bagi memastikan rangkaian lebuh raya Pantai Timur dapat disambung hingga ke negeri itu dengan permohonan rasmi telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan sejak 13 Oktober 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata kerajaan negeri terus membawa perkara itu ke peringkat Persekutuan kerana LPT3 dilihat sebagai projek infrastruktur strategik yang penting kepada pembangunan Kelantan.
Menurut beliau, pelaksanaan LPT3 akan memperkukuh hubungan pengangkutan di Pantai Timur selain meningkatkan akses dan mobiliti rakyat di negeri berkenaan.
“Pada 13 Oktober 2024, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) demi memastikan kesinambungan rangkaian lebuh raya di Pantai Timur serta meningkatkan tahap aksesibiliti dan mobiliti di Negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Shaari Mat Yaman (PAS-Bunut Payong) yang ingin tahu mengenai perkembangan terbaharu mengenai LPT3 dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Projek LPT3 telah diumum sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tahun 2006 dengan kos asal RM2.867 bilion, namun akibat penangguhan demi penangguhan, anggaran kos kini meningkat kepada RM9.8 bilion.
Ia melibatkan pembinaan lebuh raya empat Lorong sepanjang 122 kilometer dari Kampung Gemuruh, Terengganu hingga ke Tunjong di Kota Bharu.
LPT3 Jadi Agenda Utama Kelantan
Izani berkata, kerajaan negeri turut mengangkat cadangan LPT3 dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan (MTPNG) sebagai antara agenda pembangunan utama negeri.
Katanya, langkah itu bertujuan mendapatkan sokongan Kerajaan Persekutuan supaya projek berkenaan dapat diteruskan dan diberi perhatian di peringkat nasional.
Kerajaan negeri melihat LPT3 bukan sekadar projek jalan raya, sebaliknya sebagai sebahagian daripada rangkaian infrastruktur yang boleh memperkukuh kesalinghubungan Kelantan dengan negeri-negeri lain di Pantai Timur.
Peningkatan kesalinghubungan itu juga dijangka membantu mewujudkan perhubungan yang lebih cekap untuk rakyat, di samping menyokong aktiviti ekonomi dan pertumbuhan sosioekonomi negeri.
Menurut Izani, usaha membawa LPT3 dalam MTPNG turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan cadangan projek itu terus berada dalam agenda pembangunan Kelantan.
Libat Urus Dengan Kerajaan Persekutuan
Dalam usaha merealisasikan projek itu, kerajaan negeri turut mengadakan sesi libat urus strategik dengan pihak Kerajaan Persekutuan, termasuk melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
Sesi libat urus itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menggerakkan proses bagi merealisasikan LPT3 serta mendapatkan sokongan pihak Persekutuan.
Izani berkata, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada cadangan tersebut bagi memastikan kesinambungan rangkaian lebuh raya Pantai Timur sehingga ke Kelantan dapat direalisasikan. - DagangNews.com






