Kelantan nantikan perbincangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang

LocalPolitics
24 Oct 2026 • 3:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan nantikan perbincangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang
Kerajaan Kelantan menantikan perkembangan lanjut berhubung cadangan sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang.

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menantikan perkembangan lanjut berhubung cadangan sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, cadangan berkenaan masih di peringkat dasar dan memerlukan penelitian lanjut termasuk perbincangan dengan kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaannya.

“Kerajaan negeri ketika ini masih menunggu perkembangan daripada kerajaan pusat sebelum sebarang perbincangan lanjut diadakan.

“Belum ada perjumpaan lagi, kita tunggu daripada kerajaan pusat,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Antarabangsa Penggunaan dan Kelangsungan Bahasa Melayu Nusantara 2026 di Tunjong di sini pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan Malaysia dan China turut sepakat untuk menyambung laluan ECRL ke Rantau Panjang.

Sambungan itu berpotensi membuka hubungan pengangkutan rel berhampiran Thailand sekali gus memberi peluang kepada Kelantan untuk memperluas aktiviti ekonomi dan perdagangan di kawasan sempadan.

Cadangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang turut dinantikan peniaga di kawasan berkenaan yang berharap kemudahan pengangkutan itu dapat menarik lebih ramai pengunjung dan membantu merancakkan semula perniagaan di zon bebas cukai yang semakin suram.

Mereka berharap usaha berkenaan dapat direalisasikan bagi membuka peluang kepada pemulihan aktiviti ekonomi setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamarudin berkata, perancangan pembangunan bandar sempadan turut berada di peringkat perancangan dengan usaha berkenaan di bawah tanggungjawab Kementerian Ekonomi serta kerajaan Persekutuan.

“Perancangan bandar sempadan itu masih berjalan dan diharap dapat dilaksanakan untuk kembali meningkatkan ekonomi penduduk sempadan,” katanya.

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved