
Kota Kinabalu: Tiga pemain daripada Persatuan Ping Pong Kota Kinabalu (KKTTA) dipilih untuk mewakili Sabah pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXII yang akan berlangsung di Selangor dari 16 hingga 24 Ogos.
KKTTA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin memaklumkan pihaknya amat berbangga dengan pemilihan Ngui Ze Yen (Sekolah Tinggi Kota Kinabalu), Natalie Hiew Li Ya (SMK St Michael) dan Elcy Christygina Soulis (SM All Saint).
“Pemilihan mereka adalah hasil daripada rekod cemerlang yang dicapai dalam pelbagai kejohanan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, selain konsistensi serta disiplin yang ditunjukkan sepanjang sesi latihan intensif.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka dan yakin mereka akan berjuang bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama Sabah,” katanya.






