IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang kelindan lori terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, S Madhialagan, 48.
Lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 3,947.4 gram di tepi lebuh raya pada Kilometer 311.5, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, berhampiran Tapah, kira-kira jam 3 petang pada 26 Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata, terdapat percanggahan ketara dalam keterangan anggota dan pegawai tangkapan berhubung lokasi penemuan bungkusan plastik hitam berisi dadah, sama ada dibuang melalui tingkap kereta atau ditemukan di dalam kenderaan tertuduh.
Beliau berkata, terdapat juga keterangan mengenai penemuan DNA dan empat cap jari individu lain pada sarung penyandar kepala di dalam kereta yang secara tidak langsung menunjukkan kemungkinan orang lain mempunyai akses kepada kenderaan berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hairol Jemain, manakala tertuduh diwakili peguam, Charan Singh Kartar Singh dan Noorfarihah Arshad.
Seramai lapan saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan sejak perbicaraan kes itu bermula pada 3 Februari lalu.






