liza24/11/2026 - 15:53 Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Kerajaan Negeri Perak membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.69 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri itu dengan peruntukan pembangunan meningkat kepada RM593 juta bagi meneruskan pelaksanaan projek infrastruktur, kemudahan awam dan pembangunan ekonomi di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan pembangunan itu meningkat RM25 juta atau 4.4% berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi pernah disediakan dalam belanjawan negeri.
Beliau berkata, daripada keseluruhan belanjawan tersebut, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM593 juta disediakan untuk perbelanjaan pembangunan dengan unjuran defisit sebanyak RM128 juta.
"Peruntukan pembangunan meningkat sebanyak RM25 juta atau 4.4% berbanding tahun sebelumnya, menjadikannya jumlah tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri," katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Hasil negeri dijangka meningkat kepada RM1.565 bilion
Saarani berkata, belanjawan bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera: Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina’ itu dirangka dengan mengambil kira keperluan semasa rakyat serta tuntutan pembangunan negeri pada masa hadapan.
Menurutnya, jumlah hasil dan terimaan pembangunan negeri bagi 2027 diunjurkan sebanyak RM1.565 bilion, meningkat RM47 juta berbanding 2026.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM719 juta dijangka diperoleh menerusi hasil cukai, RM554 juta daripada hasil bukan cukai, RM250 juta daripada terimaan bukan hasil dan RM42 juta daripada terimaan pembangunan.
Beliau berkata, peningkatan hasil itu akan menyokong usaha kerajaan negeri meneruskan projek infrastruktur, menambah baik kemudahan awam, merangsang aktiviti ekonomi serta melaksanakan inisiatif pembangunan yang memenuhi keutamaan penduduk.
Lima keutamaan pacu pembangunan Perak Sejahtera 2030
Saarani berkata, kerajaan negeri menetapkan lima keutamaan utama dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada rakyat.
Keutamaan tersebut merangkumi kesejahteraan rakyat, penambahbaikan tadbir urus projek yang melibatkan kepentingan negeri, pembangunan modal insan dan belia, pemeliharaan kelestarian alam sekitar serta jaminan bekalan makanan yang stabil.
Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan matlamat pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang terus menjadi panduan kepada kerajaan negeri dalam merancang dan melaksanakan agenda pembangunan.
RM508.2 juta diperuntukkan bagi emolumen penjawat awam
Bagi perbelanjaan mengurus, Saarani berkata, sebanyak RM508.2 juta diperuntukkan untuk emolumen, RM393.7 juta bagi perkhidmatan dan bekalan serta RM12.3 juta untuk pembelian aset.
Selain itu, sebanyak RM179.1 juta disediakan bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap, manakala RM6.6 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan lain.
Beliau berkata, peruntukan tersebut turut mengambil kira kenaikan gaji tahunan penjawat awam, tuntutan elaun kerja lebih masa serta pewujudan jawatan baharu di Jabatan Pengairan dan Saliran Perak.
Defisit RM128 juta bagi membiayai agenda pembangunan
Mengulas unjuran defisit sebanyak RM128 juta, Saarani berkata, keadaan itu mencerminkan keperluan kerajaan negeri untuk membiayai agenda pembangunan di samping mengekalkan pelbagai program kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa defisit yang diunjurkan tidak semestinya menggambarkan kedudukan kewangan sebenar negeri pada akhir tahun berdasarkan pengalaman pengurusan kewangan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, kecekapan kutipan hasil, penetapan keutamaan perbelanjaan secara berhemat dan kawalan perbelanjaan yang ketat akan terus menjadi asas pengurusan fiskal negeri.
"Setiap peruntukan mesti mempunyai tujuan yang jelas. Disiplin fiskal bukan bermaksud mengehadkan pembangunan, sebaliknya memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan pulangan bermakna kepada rakyat," katanya. - DagangNews.com





