Kelington menang kontrak RM128 juta daripada pelanggan sama, projek keempat di Sarawak

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 2:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelington menang kontrak RM128 juta daripada pelanggan sama, projek keempat di Sarawak Image from: Kelington menang kontrak RM128 juta daripada pelanggan sama, projek keempat di Sarawak amree13/10/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt — Kelington Group Berhad mengukuhkan nilai projek di Sarawak dengan memperoleh kontrak tambahan bernilai kira-kira RM128 juta daripada pelanggan sama di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, Kuching, sekali gus meningkatkan nilai keseluruhan kontrak projek kepada RM544 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, kontrak keempat itu sekali lagi dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Kelington Technologies Sdn Bhd (KTSB), pada 12 Oktober 2026 bagi projek pengembangan melibatkan sebuah syarikat pembuatan di Kuching.

 

Jelas kumpulan berkenaan, tender terkini itu membabitkan kerja reka bentuk dan pembinaan sistem penjanaan air nyahion ultra tulen serta loji rawatan air sisa (WWTP) untuk sebuah kemudahan pembuatan storan data termaju.

 

"Pelaksanaan kontrak berkenaan bermula dengan serta-merta dengan kerja tersebut perlu disiapkan menjelang April 2028," tambah Kelington.

 

Susulan penganugerahan baharu itu, nilai terkumpul tender dan tempahan pembelian yang diperoleh KTSB daripada pelanggan sama bagi projek berkenaan meningkat kepada sebanyak RM544 juta berbanding hanya kira-kira RM416 juta sebelum ini.

 

Ini merupakan kontrak tambahan terbaharu daripada pelanggan sama, selepas Kelington mengumumkan kontrak berkaitan projek itu pada 29 September dan 5 Oktober 2026.

 

Artikel berkaitan:

Kelington peroleh kontrak tambahan RM133 juta pembinaan fasiliti pembuatan storan data di Kuching

Kelington raih kontrak RM172 juta sediakan kemudahan pembuatan storan data di Sarawak

 

Ujar Kelington, tender baharu itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tempoh seterusnya sehingga kontrak tersebut disiapkan.

 

"KTSB juga menjangkakan peluang memperoleh kontrak tambahan daripada pelanggan sama bagi pelbagai skop kerja berkaitan projek itu, dengan sebarang perkembangan material akan diumumkan sewajarnya," jelas kumpulan tersebut.

 

Dari segi kesan korporat, tender berkenaan tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama Kelington.

 

Pada masa sama, Kelington turut memaklumkan bahawa tiada risiko luar biasa dijangka timbul selain risiko operasi biasa berkaitan pelaksanaan kontrak berkenaan.

 

Lembaga Pengarah berpandangan, penerimaan kontrak baharu itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan, manakala tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai kaitan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved