iCents raih kontrak RM36 juta bina kemudahan semikonduktor di Selangor daripada firma Amerika Syarikat

LocalTechnology
13 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

iCents raih kontrak RM36 juta bina kemudahan semikonduktor di Selangor daripada firma Amerika Syarikat Image from: iCents raih kontrak RM36 juta bina kemudahan semikonduktor di Selangor daripada firma Amerika Syarikat amree13/10/2026 - 09:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – iCents Group Holdings Berhad memperoleh kontrak berpotensi bernilai RM36.15 juta bagi pembangunan kemudahan pemprosesan wafer semikonduktor di Selangor, sekali gus memperkukuh penglibatannya dalam industri teknologi tinggi.

 

Kumpulan itu berkata, subsidiarinya, VC Engineering, menerima surat penganugerahan (LOA) daripada anak syarikat Malaysia milik sebuah firma berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) bagi melaksanakan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tersebut.

 

Kontrak itu meliputi dua peringkat kerja di bawah Fasa 1 daripada keseluruhan empat fasa pembangunan yang dirancang, dengan nilai berpotensi RM36.15 juta, tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

"Daripada jumlah itu, Peringkat 1 bernilai RM21.05 juta sudah dianugerahkan secara rasmi kepada VC Engineering, manakala Peringkat 2 bernilai RM15.01 juta masih tertakluk kepada notis pemberian bertulis seterusnya daripada majikan," maklum iCents kepada Bursa Malaysia.

 

Menurutnya, projek berkenaan mengukuhkan kedudukannya dalam industri semikonduktor dengan memanfaatkan kepakaran kejuruteraan dan pembinaan bersepadu bagi memenuhi keperluan pembangunan kemudahan pembuatan canggih.

 

Pengarah Urusannya, Ir Ts Vincent Ong Mum Fei berkata, kontrak itu merupakan satu lagi langkah penting dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam industri semikonduktor, khususnya ketika pengeluar terus melabur dalam kemudahan pembuatan berteknologi tinggi dan infrastruktur sokongan.

 

iCents_DagangNews2026

 

Beliau berkata, kumpulan melihat peluang pertumbuhan dalam penyediaan penyelesaian kejuruteraan serta kemudahan khusus, selain berhasrat memperkukuh rekod prestasinya dalam memenuhi keperluan industri teknologi tinggi yang terus berkembang.

 

Pengarah Eksekutif iCents, Foo Siang Leng pula berkata, pendekatan siap guna membolehkan kumpulan memanfaatkan keupayaan penyampaian projek secara menyeluruh, merangkumi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan.

 

"Keutamaan kumpulan adalah memastikan pelaksanaan kerja yang dianugerahkan berjalan cekap, dengan penekanan terhadap kualiti, pematuhan piawaian teknikal dan disiplin kos," jelasnya.

 

Di samping itu ujarnya, iCents menjangkakan projek tersebut menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, sehingga projek berkenaan siap.

 

Kumpulan itu kekal memberi tumpuan kepada sektor berkeperluan spesifikasi tinggi, termasuk semikonduktor, pusat data (DC), farmaseutikal dan pembuatan canggih, dengan memanfaatkan kepakaran bilik bersih, keupayaan pembuatan serta penyelesaian kemudahan bersepadu.

 

Selain pasaran Malaysia, iCents turut merancang untuk meneroka peluang secara terpilih di Thailand dan Indonesia, sambil mengekalkan pendekatan berdisiplin terhadap pelaksanaan projek dan pengurusan kos. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved