sarah13/10/2026 - 14:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan meluluskan tiga projek pembinaan dan naik taraf kompleks serta pos imigresen di sempadan Sarawak-Kalimantan dengan kos keseluruhan RM172 juta, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai peruntukan RM1 bilion untuk menaik taraf kemudahan ICQS di Sarawak, KDN berkata projek berkenaan melibatkan kompleks ICQS Tebedu, Serian serta pembinaan dua pos imigresen.
Projek menaik taraf ICQS Tebedu bernilai RM100 juta dijangka siap pada Januari 2029.
Sementara itu, pembinaan Pos dan Kuarters Imigresen Serikin, Bau bernilai RM50 juta dijadual siap pada Disember 2027, manakala Pos dan Kuarters Telok Melano, Sematan bernilai RM22 juta dijangka siap pada Disember 2028.
Selain itu, KDN memaklumkan lima projek pembangunan sempadan Sarawak turut diluluskan di bawah peruntukan khas pembangunan sempadan seluruh negara berjumlah RM1 bilion.
Projek berkenaan termasuk kerja menaik taraf dan membaik pulih ICQS Tedungan, Limbang bernilai RM5.4 juta yang dijangka siap pada Oktober 2027, serta ICQS Pandaruan, Limbang bernilai RM1.8 juta yang dijadual siap pada November 2026.
KDN turut memaklumkan tarikh siap bagi projek menaik taraf pagar sempadan di ICQS Lubok Antu, Sri Aman; ICQS Merapok, Lawas; dan Pos Kawalan Sempadan Bunan Gega, Serian, adalah mengikut jadual pelaksanaan yang ditetapkan. - DagangNews.com






