Keluarga Rohingya buat laporan polis selepas dakwa diugut, diarah keluar dari kampung

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 5:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keluarga Rohingya buat laporan polis selepas dakwa diugut, diarah keluar dari kampung
Gegantung yang tertera mesej amaran meminta etnik Rohingya berpindah dinaikkan di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung tindakan sekumpulan penduduk kampung yang meminta sebuah keluarga etnik Rohingya berpindah keluar dari rumah sewa mereka di Kampung Kubang Parit di sini pada Isnin lalu.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, laporan tersebut dibuat oleh seorang lelaki warga Rohingya, Hashimutullah Abul Alam, 29, di Balai Polis Chabang Tiga di sini kira-kira jam 9.01 pagi pada Isnin lalu.

​Menurutnya, pengadu yang bekerja sebagai buruh binaan mendakwa, rumah sewanya didatangi kira-kira sembilan orang penduduk tempatan sekitar jam 9.15 malam pada Ahad.

​"Pengadu mendakwa kumpulan lelaki yang diketuai seorang penduduk tempatan memberi amaran supaya dia bersama isteri dan anaknya keluar dari kediaman serta kampung berkenaan dengan kadar segera.

​"Lelaki terbabit turut diancam bahawa penduduk akan datang semula untuk menghalau mereka sekiranya enggan berpindah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

​Beliau berkata, pengadu yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu telah menetap di rumah sewa berkenaan sejak enam tahun lalu dengan kadar sewa RM450 sebulan daripada seorang pemilik tempatan.

​Jelas beliau, tindakan menghalau itu dipercayai merupakan tindak balas penduduk setempat susulan insiden yang berlaku di Kemaman serta siri penggantungan kain rentang membantah kehadiran Rohingya di kawasan Durian Burung dan Kubang Parit sebelum ini.

​"Pengadu bersama tuan rumah hadir membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan keselamatan dan pemantauan daripada pihak berkuasa kerana bimbang akan keselamatan diri serta keluarganya.

​"Kejadian itu juga telah dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kubang Parit, Haji Mansur," katanya.

​Tambah beliau, sehingga kini pengadu bersama keluarganya masih menetap di kediaman berkenaan dan belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu berpindah atau kekal di situ.

"Setakat ini tiada kertas siasatan dibuka berhubung kes berkenaan," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved