![Image from: [VIDEO] Dua wanita berjubah, berpurdah diburu larikan gelang emas](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-14-at-12.28.58-PM-1024x768.jpeg)
KUALA TERENGGANU – Dua wanita termasuk seorang berpurdah diburu polis bagi membantu siasatan kes kecurian seutas gelang emas bernilai kira-kira RM16,000 di sebuah kedai emas di Batu 8, Kampung Batu Enam, di sini, semalam.
Kejadian kecurian tersebut dipercayai berlaku pada pukul 10.59 pagi sebelum disedari jurujual kedai emas terbabit yang membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, kira-kira 14 jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kehilangan seutas gelang emas seberat 28.01 gram hanya disedari jurujual tersebut sewaktu mengadakan pemeriksaan stok pada pukul 10.25 malam.
“Dia kemudiannnya membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati dua suspek wanita masuk ke dalam premis perniagaan itu dengan didakwa berpura-pura sebagai pelanggan.
“Salah seorang suspek meminta beberapa gelang emas untuk dicuba sebelum tidak menanggalkan seutas barangan kemas yang dipakai ditangannya,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, sebaliknya wanita tersebut cuba menyembunyikan gelang itu dengan lengan jubahnya.
Beliau berkata, suspek kemudiannya dilihat sengaja menjatuhkan gelang tangan itu ke lantai sebelum memijaknya dan memasukkannya ke dalam beg tangan.
“Mereka kemudiannya keluar dari kedai emas berkenaan dengan alasan mahu mengambil wang untuk membuat pembayaran, namun tidak kembali selepas itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@hanieyyt TOLONG VIRALKAN KES CURI EMAS DI KEDAI EMAS TERENGGANU SEKITAR PUKUL 11PAGI , TOLONG BANTU CARIKAN , ALMOST 15k LOST#viral #fyp ♬ Dramatic – Syafeea library
The post [VIDEO] Dua wanita berjubah, berpurdah diburu larikan gelang emas appeared first on Kosmo Digital.






