Keluarga tidak dibenar tinggal bersama Najib sepanjang tahanan rumah

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 5:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keluarga tidak dibenar tinggal bersama Najib sepanjang tahanan rumah

PETALING JAYA: Ahli keluarga termasuk isteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, dipercayai tidak dibenarkan tinggal bersama bekas Perdana Menteri itu sepanjang tempoh tahanan rumahnya.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, Rosmah sebaliknya dipercayai akan menetap di kediamannya di Pavilion, di sini.

Menurutnya, kediaman Najib di Taman Duta yang diwartakan sebagai penjara tertakluk kepada peraturan sama seperti institusi penjara lain.

“Tidak boleh dan rumah itu pun diwartakan sebagai penjara. Memang konsep penjara anak bini tidak ada dalam itu.

“Anak bini dia bukan tinggal sekali. DSR (Rosmah) duduk Pavilion,” katanya menerusi ruangan komen hantaran pengguna Threads, @wakdoyik.co, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pengguna media sosial berhubung pelaksanaan tahanan rumah Najib, termasuk sama ada ahli keluarga dibenarkan tinggal bersama bekas Perdana Menteri itu.

Nurulhidayah berkata, Najib juga tidak dibenarkan keluar dari kawasan kediamannya manakala urusan pembelian makanan secara dalam talian tidak dibenarkan.

Katanya, makanan dan minuman Najib akan ditentukan oleh pihak penjara, sementara waktu lawatan ahli keluarga turut tertakluk kepada prosedur yang ditetapkan.

“Terima kasih tanya sebab nak tahu. Letih baca fitnah dari orang-orang yang terpaling tahu semua.

“Oh ya. Makanan minuman semua penjara yang tentukan,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda terhadap Najib yang dikeluarkan pada 6 November lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menggantikan perintah itu dengan arahan supaya Najib dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta, berkuat kuasa serta-merta.

Perintah itu dibuat selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. – UTUSAN

The post Keluarga tidak dibenar tinggal bersama Najib sepanjang tahanan rumah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved