Kelulusan permit eksport getah kini hanya 15 minit berbanding 14 hari - KPK

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 3:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelulusan permit eksport getah kini hanya 15 minit berbanding 14 hari - KPK Image from: Kelulusan permit eksport getah kini hanya 15 minit berbanding 14 hari - KPK sarah24/11/2026 - 15:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Tempoh kelulusan permit eksport getah kini dipendekkan daripada 14 hari kepada hanya 15 minit menerusi pelaksanaan Sistem MyPermit Lembaga Getah Malaysia (LGM), sekali gus memudahkan urusan pengeksport dan meningkatkan kecekapan perdagangan industri berkenaan.

 

Sistem yang mula digunakan pada 2 November 2026 itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sempena Konvensyen Pelesenan dan Penguatkuasaan Sektor Agrikomoditi 2026 di Kuala Lumpur hari ini.

 

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata, usaha pembaharuan itu bermula sejak 2025 menerusi pemudahan prosedur sebelum diteruskan dengan pelaksanaan sistem digital tahun ini bagi menggantikan proses permohonan secara manual.

 

Noraini berkata, semua agensi di bawah kementeriannya diminta menyemak semula proses dan syarat pelesenan bagi mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepat urusan permohonan dalam kalangan pengusaha industri.

 

“Pemohon sepatutnya menerima panduan yang sama di setiap saluran dan tidak perlu menghantar dokumen yang sama berulang kali,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

 

Tempoh kelulusan lesen biobahan api disasar berkurang 50%

Selain industri getah, KPK turut menyasarkan tempoh pemprosesan dan kelulusan lesen industri biobahan api dipendekkan daripada 30 hari bekerja kepada maksimum 15 hari bekerja bagi permohonan lengkap yang memenuhi semua keperluan ditetapkan.

 

Mulai 1 Disember 2026, semua permohonan lesen bagi aktiviti industri biobahan api yang dikawal selia kementerian boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi sistem eLesen melalui platform BLESS Generasi Baharu (BNG), menggantikan proses permohonan secara manual.

 

Pelaksanaan sistem eLesen itu turut melibatkan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) serta Lembaga Koko Malaysia (LKM), dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

 

Perkukuh daya saing eksport agrikomoditi

Dalam pada itu, Noraini berkata, eksport agrikomoditi Malaysia mencecah hampir RM197 bilion pada 2025, namun usaha meluaskan pasaran antarabangsa memerlukan industri memenuhi syarat kebolehkesanan dan kelestarian yang semakin ketat.

 

“Pembeli hari ini mahu tahu dari mana bahan mentah diperoleh dan bagaimana produk itu dihasilkan. Keperluan kebolehkesanan dan kelestarian di pasaran antarabangsa juga semakin ketat,” katanya.

 

Beliau turut menekankan kepentingan membantu pekebun kecil dan perusahaan tempatan memenuhi syarat pasaran melalui penyediaan panduan serta saluran bantuan yang jelas, khususnya bagi mereka yang pertama kali memohon lesen.

 

Pada masa sama, Noraini mahu agensi penguatkuasaan memberi keutamaan kepada pemeriksaan aktiviti berisiko tinggi serta menjalankan siasatan secara teliti terhadap aduan operasi tanpa lesen, pemalsuan rekod dan pelanggaran peraturan berulang bagi memastikan persaingan yang adil dalam industri. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved