
IPOH - Trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dari Ipoh menuju Kuala Kangsar sesak kira-kira tujuh kilometer susulan kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer (KM) 257.2, selepas Terowong Menora, hari ini.
PLUS Traffic menerusi hantaran di X memaklumkan sehingga jam 10.27 pagi, semua lorong arah utara masih ditutup dan trafik dilencongkan keluar menerusi Plaza Tol Ipoh Selatan.
Operasi aliran kontra turut diaktifkan antara KM257.3 hingga KM256.2 bagi membantu mengurangkan kesesakan.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan serta mematuhi arahan petugas yang berada di lokasi kejadian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 8.58 pagi.
Menurutnya, kemalangan terbabit membabitkan dua lori, dengan seorang pemandu dilaporkan terperangkap di dalam kenderaan.
“Operasi menyelamat sedang dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap,” katanya.
Beliau berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya terbabit dalam operasi berkenaan yang masih dijalankan. - Getaran, 18 September 2026






