![Image from: [KEMASKINI] Tiga beradik maut 200 meter nak sampai rumah](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/maut-3-beradik-1024x762.jpeg)
PONTIAN – “Saya sudah larang dan beritahu hari ini sekolah tidak dibuka, namun mereka tetap berkeras mahu ke sekolah.”
Itu luahan pilu seorang ibu, Julaiha Munaji, 43, yang kehilangan tiga anaknya serentak selepas mereka maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Jalan Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini, pagi tadi.
Lebih menyayat hati, dua daripada anaknya sempat menyiapkan kerja rumah sebelum ke sekolah meskipun sudah dimaklumkan bahawa sekolah tidak dibuka hari ini.
Menurut Julaiha, Nor Danial Fikri, 11, dan Puteri Naufa Raisha, 8, kemudian dihantar ke sekolah oleh abang mereka, Nor Danial Aiman Nor Lizan, 18, yang sedang menunggu keputusan untuk memasuki Pusat Giat Mara dalam bidang automotif.
“Ketika berada di rumah, penduduk kampung datang memberitahu anak-anak saya terbabit kemalangan tidak jauh dari rumah kami.
“Saya diberitahu mereka kemalangan ketika dalam perjalanan balik ke rumah, kira-kira 200 meter sebelum sampai ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Siraj, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pagi tadi, tiga beradik itu dipercayai terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa biji kelapa sawit ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah dalam keadaan cuaca berjerebu.
Nor Danial Fikri dan Puteri Naufa Raisha yang masing-masing murid Tahun Lima dan Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Parit Sapran meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Nor Danial Aiman meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pontian.
Jenazah ketiga-tiga beradik kemudian dibawa ke Hospital Pontian untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada pukul 1.30 tengah hari sebelum dikebumikan bersama di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Siraj, petang ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan petang ini. – KOSMO! ONLINE
The post [KEMASKINI] Tiga beradik maut 200 meter nak sampai rumah appeared first on Kosmo Online.






