Sebelum ini, tular mengenai kematian seorang pelajar sekolah rendah, Nur Qaira Alisha Ahmad ‘Ilwan yang berusia 11 tahun selepas seorang guru didakwa mengarahkannya menyertai acara larian ketika pemilihan rumah sukan pada April yang lalu.
Pelajar itu difahamkan menghidap penyakit jantung sejak berusia tiga bulan dan pihak sekolah telah menerima surat. Susulan itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, telah mengarahkan Unit Integriti, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil tindakan lanjut.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Nur Qaira Alisha: Unit Integriti KPM Diarah Ambil Tindakan Lanjut Berhubung Aduan Keluarga – Fadhlina
Guru didakwa ditukarkan ke sekolah baharu sementara tunggu siasatan
Terbaharu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengesahkan guru berkenaan dipindahkan sementara menunggu keputusan siasatan.
Jelas jurucakap JPN Kedah, guru tersebut telah ditukarkan ke sebuah sekolah baharu. Perkara itu dilakukan sejurus selepas siasatan awal dibuat serta tindakan tersebut sebagai langkah intervensi awal.
Pihak JPN Kedah turut meminta orang ramai untuk tidak melakukan sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan.
“Pada masa ini, tindakan telah diserahkan kepada unit integriti Kementeri Pendidikan (KPM) untuk tindakan seterusnya.
“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberikan ruang kepada pihak JPN dan KPM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” jelasnya, lapor Sinar Harian yang memetik Bernama.
Insiden babitkan Nur Qaira Alisha berlaku pada 14 April apabila arwah dikatakan terbabit pemilihan acara larian untuk program sukan
Dalam pada itu, sumber dalaman sekolah berkenaan turut memaklumkan insiden yang berlaku membabitkan pelajar itu berlaku pada 14 April yang lalu.
Perkara itu selepas pelajar tersebut dikatakan terbabit dalam pemilihan untuk acara larian 80 meter bagi program sukan sekolah.
Memang ada masalah jantung sejak kecil
“Murid itu memang mempunyai sejarah penyakit jantung daripada kecil (selepas bersukan), murid berkenaan jatuh sakit dan mula mendapat rawatan pada 17 April dan tidak hadir ke sekolah selama empat bulan dan aduan daripada waris telah dibuat pada 10 Mei,” ujarnya lagi.







