Kes kematian Nur Qaira: Guru didakwa dipindahkan – JPN Kedah

LocalHealth & Fitness
28 Aug 2026 • 2:56 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Kes kematian Nur Qaira: Guru didakwa dipindahkan – JPN Kedah

JPN Kedah sahkan guru terlibat kes kematian Nur Qaira Alisha, 11, ditukar sekolah sementara unit integriti KPM jalankan siasatan lanjut.

ALOR SETAR: Guru yang dipercayai terlibat dengan kes seorang murid perempuan berusia 11 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat penyakit jantung, namun dipaksa bersukan, disahkan telah ditukarkan sementara menunggu keputusan siasatan.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata guru berkenaan telah ditukarkan ke sekolah baharu sejurus selepas siasatan awal dilakukan dan tindakan itu merupakan langkah intervensi awal.

“Pada masa ini, tindakan telah diserahkan kepada unit integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan seterusnya.

“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberikan ruang kepada pihak JPN dan KPM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, sumber dalaman sekolah memaklumkan kejadian yang melibatkan Allahyarham Nur Qaira Alisha Ahmad ‘Ilwan itu berlaku pada 14 April lepas, apabila murid berkenaan dikatakan terlibat dalam pemilihan bagi acara larian 80 meter untuk program sukan sekolah.

“Murid itu memang mempunyai sejarah penyakit jantung daripada kecil. (Selepas bersukan), murid berkenaan jatuh sakit dan mula mendapat rawatan pada 17 April dan tidak hadir ke sekolah selama empat bulan dan aduan daripada waris telah dibuat pada 10 Mei,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek telah mengarahkan unit integriti KPM mengambil tindakan selanjutnya berhubung kematian Nur Qaira Alisha, selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau juga dimaklumkan bahawa JPN Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan keluarga arwah.

Sebelum ini, tular perkongsian bapa mangsa di media sosial yang mendakwa anaknya yang mengalami masalah jantung diarahkan oleh seorang guru untuk menyertai aktiviti larian pada pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan tentang penyakitnya itu telah diberi.

Akibat kejadian tersebut, Nur Qaira Alisha didakwa telah terlantar dan terpaksa memakai oksigen sebelum mangsa dilaporkan meninggal dunia pada 7.49 malam, Rabu lepas.

Kejadian itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga alam maya yang mahukan tindakan segera diambil terhadap mereka yang terlibat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved