
ALOR SETAR – Seorang guru yang dipercayai terlibat dalam kes membabitkan seorang murid perempuan berusia 11 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat penyakit jantung, telah dipindahkan sementara ke sekolah lain.
Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata, tindakan itu dilakukan sementara menunggu keputusan siasatan.
“Guru terbabit telah ditukarkan ke sekolah baharu selepas siasatan awal dilakukan dan ia merupakan langkah intervensi awal. Tindakan seterusnya telah diserahkan kepada unit integriti Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya di sini, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberi ruang kepada JPN dan KPM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan unit integriti KPM mengambil tindakan selanjutnya berhubung kematian Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan selaras dengan peraturan dan undang-undang berkuat kuasa.
Sebelum ini, tular perkongsian ibu mangsa di media sosial yang mendakwa anaknya yang mengalami masalah jantung diarahkan oleh seorang guru untuk menyertai aktiviti larian pada pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan tentang penyakitnya telah diberi.
Akibat kejadian itu, Nur Qaira Alisha didakwa hanya terlantar dan terpaksa memakai alat bantuan oksigen sebelum dilaporkan meninggal dunia pada pukul 7.49 malam, kelmarin.
Difahamkan, kejadian menimpa kanak-kanak itu berlaku pada 14 April lepas, apabila murid itu dikatakan terlibat dalam pemilihan bagi acara larian 80 meter untuk program sukan sekolah.
Nur Qaira Alisha mempunyai sejarah penyakit jantung sejak kecil dan dia mula jatuh sakit dan mendapat rawatan pada 17 April lalu sebelum tidak hadir ke sekolah selama empat bulan. – KOSMO! ONLINE
The post Kematian Nur Qaira: Guru dipindahkan ke sekolah lain appeared first on Kosmo Digital.






