Guru yang dipercayai terbabit dalam kes seorang murid perempuan berusia 11 tahun yang didakwa meninggal dunia selepas dipaksa menyertai aktiviti sukan meskipun mempunyai masalah jantung, disahkan telah ditukarkan ke sekolah lain sementara menunggu keputusan siasatan.
Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan, pertukaran guru terbabit dibuat sejurus selepas siasatan awal dijalankan sebagai langkah intervensi awal.

“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberikan ruang kepada pihak JPN dan KPM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Sementara itu, sumber dalaman sekolah memaklumkan kejadian yang membabitkan Allahyarham Nur Qaira Alisha Ahmad ‘Ilwan dipercayai berlaku pada 14 April lalu ketika murid berkenaan terlibat dalam pemilihan acara larian 80 meter bagi program sukan sekolah.

Menurut sumber, murid berkenaan mempunyai sejarah penyakit jantung sejak kecil.
“Murid itu memang mempunyai sejarah penyakit jantung daripada kecil. (Selepas bersukan), murid berkenaan jatuh sakit dan mula mendapat rawatan pada 17 April dan tidak hadir ke sekolah selama empat bulan dan aduan daripada waris telah dibuat pada 10 Mei,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Unit Integriti KPM mengambil tindakan lanjut berhubung kematian Nur Qaira Alisha mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau turut dimaklumkan bahawa JPN Kedah sudah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan oleh keluarga arwah.
Sebelum ini, tular perkongsian bapa mangsa di media sosial yang mendakwa anaknya diarahkan oleh seorang guru untuk menyertai aktiviti larian semasa pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan mengenai masalah jantungnya telah diberikan.
Susulan kejadian itu, Nur Qaira Alisha didakwa terlantar dan terpaksa menggunakan bantuan oksigen sebelum dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.49 malam, Rabu lalu. – BERITA HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

KDN Sasar 5,000 Pelarian Myanmar Pulang Secara Sukarela, 1,476 Individu Dijadual Berlepas September Ini
The post Pelajar Sakit Jantung Ma*t Setelah Dipaksa Sertai Acara Sukan, Guru Terlibat Ditukar Sementara Tunggu Siasatan first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






