Kematian Murid 11 Tahun Jadi Sebutan, Guru Didakwa Terlibat Ditukar Ke Sekolah Lain 

28 Aug 2026 • 2:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kematian Murid 11 Tahun Jadi Sebutan, Guru Didakwa Terlibat Ditukar Ke Sekolah Lain 

ALOR SETAR - Seorang guru yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian seorang murid perempuan berusia 11 tahun ditukarkan ke sekolah lain sementara menunggu hasil siasatan.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan, pertukaran itu dilaksanakan sejurus siasatan dijalankan sebagai langkah intervensi awal, sebelum kes berkenaan dirujuk kepada Unit Integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan lanjut.

“Perkara ini telah dirujuk kepada Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan selanjutnya.

“Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan memberi ruang kepada JPN serta KPM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.

Nur Qaira Alisha Ahmad ‘Ilwan, 11, seorang murid Tahun Empat di sebuah sekolah rendah di sini dimasukkan ke hospital, sebelum akhirnya meninggal dunia selepas diarahkan menyertai aktiviti larian ketika sesi pemilihan atlet bagi pasukan sukan sekolah.

Murid berkenaan yang dilaporkan menghidap masalah jantung sejak berusia tiga bulan sebelum ini telah dikecualikan daripada menyertai aktiviti sukan di sekolah berikutan keadaan kesihatannya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turut mengarahkan Unit Integriti KPM mengambil tindakan lanjut berhubung kematian Nur Qaira mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau juga dimaklumkan, JPN Kedah telah menjalankan siasatan susulan aduan yang dibuat oleh keluarga murid berkenaan.

Sebelum ini, bapa Nur Qaira menerusi satu hantaran di media sosial mendakwa, anaknya telah diarahkan oleh seorang guru untuk menyertai aktiviti larian walaupun pihak sekolah dikatakan telah menerima surat perubatan yang mengesahkan keadaan jantung murid terbabit.

Sumber dalaman sekolah berkata, kejadian tersebut didakwa berlaku ketika sesi pemilihan bagi acara larian 80 meter sebagai persediaan menghadapi kejohanan sukan sekolah.

“Murid berkenaan mempunyai sejarah penyakit jantung sejak kecil. Selepas menyertai aktiviti sukan itu, dia jatuh sakit dan mula menerima rawatan pada 17 April.

“Dia tidak hadir ke sekolah selama empat bulan, manakala keluarganya membuat aduan pada 10 Mei,” kata sumber itu.

Keluarga Nur Qaira mendakwa, keadaan kesihatan Nur Qaira semakin merosot selepas aktiviti tersebut sehingga menyebabkan dia terlantar dan memerlukan bantuan oksigen sebelum meninggal dunia pada jam 7.49 malam, Rabu lalu.

Ibunya, Norlela Shaari berkata, Nur Qaira dimasukkan ke hospital pada 24 April selepas mengalami muntah yang teruk selain bengkak di sekitar mata.

Menurutnya, anaknya kelihatan terlalu letih dan mengadu loya selepas pulang dari sekolah pada hari aktiviti larian itu berlangsung.

Hasil pemeriksaan perubatan kemudiannya mendapati Nur Qaira mengalami kegagalan jantung akibat dekompensasi yang berkaitan dengan dilated cardiomyopathy atau kardiomiopati dilatasi.

Kardiomiopati dilatasi ialah keadaan apabila otot jantung menjadi lemah dan membesar, khususnya pada ruang utama yang berfungsi mengepam darah iaitu ventrikel kiri.

Norlela berkata, seorang pakar kardiologi kanak-kanak kemudiannya mengesan pengumpulan cecair di sekitar jantung anaknya, sekali gus menyebabkan wajah dan bahagian matanya membengkak.

Keadaan Nur Qaira dilaporkan semakin merosot sehingga pergerakannya terpaksa dihadkan dan dia perlu menggunakan kerusi roda.

Doktor juga mengehadkan pengambilan airnya kepada satu liter sehari bagi mengelakkan bengkak berulang.

Nur Qaira kemudiannya menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, sebelum meninggal dunia.

Siasatan oleh JPN Kedah dan KPM masih berjalan, dan setakat ini belum ada sebarang dapatan rasmi yang mengesahkan sama ada aktiviti sukan berkenaan menjadi punca atau menyumbang secara langsung kepada kematian murid itu. - Getaran, 28 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved