
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa berkaitan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan memandangkan ia melibatkan aspek keselamatan serta kebajikan murid di kawasan sekolah.
Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat telah diarah memberi sokongan penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan.
“Saya ingin tegaskan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah. Namun, sama ada insiden ini mempunyai unsur-unsur berkenaan hendaklah ditentukan berdasarkan siasatan pihak berkuasa dan bukan melalui spekulasi.
“Sekolah mesti kekal sebagai tempat selamat untuk setiap anak Johor yang mana tempat mereka menimba ilmu, membina masa depan dan berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan serta kesejahteraan mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya bersama JPNJ dan agensi berkaitan akan terus memberi perhatian terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan serta mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.
“Sementara itu, saya menyeru semua pihak termasuk orang awam dan pengguna media sosial supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sah atau membuat kesimpulan awal yang boleh mengganggu siasatan serta menambah kesedihan keluarga mangsa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemukan maut disyaki dibunuh di dalam sebuah sekolah, di Yong Peng, Batu Pahat petang semalam.-UTUSAN
The post Kematian pelajar di Yong Peng: Kerajaan Johor beri kerjasama penuh siasatan polis appeared first on Utusan Malaysia.






