Kementerian Perladangan dan Komoditi perkukuh program turun padang, pastikan pekebun kecil tidak tercicir bantuan

LocalBusiness & Finance
23 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kementerian Perladangan dan Komoditi perkukuh program turun padang, pastikan pekebun kecil tidak tercicir bantuan Image from: Kementerian Perladangan dan Komoditi perkukuh program turun padang, pastikan pekebun kecil tidak tercicir bantuan johardy23/08/2026 - 08:00 Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bersama Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menyampaikan Insentif Pekebun Kecil bagi Pelaksanaan Pensijilan MPSO di Seremban pada 22 Ogos 2026. - Gambar KPK Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

SEREMBAN 23 Ogos - Kementerian Perladangan dan Komoditi akan memperkukuh program turun padang bagi memastikan pekebun kecil mendapat akses kepada bantuan dan bimbingan kerajaan untuk meningkatkan produktiviti, pendapatan serta penghasilan produk agrikomoditi bernilai tambah.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pendekatan itu penting kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat yang belum mengetahui mengenai bantuan kerajaan, program latihan serta syarat permohonan yang disediakan.

 

Beliau berkata, usaha mendekati masyarakat secara langsung juga membolehkan kementerian dan agensinya memahami dengan lebih tepat keperluan pekebun kecil serta cabaran yang dihadapi mereka.

 

Menurutnya, Program Salam Agrikomoditi Negeri Sembilan menjadi antara platform untuk mendekatkan perkhidmatan dan peluang kerajaan kepada rakyat, selain membolehkan kementerian berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.

 

“Keutamaan kita adalah memastikan pekebun kecil mendapat maklumat, bantuan dan bimbingan yang diperlukan supaya mereka dapat meningkatkan produktiviti serta pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Salam Agrikomoditi Negeri Sembilan yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim di sini, Sabtu.


 

solar

 


Ismail pula berkata, Negeri Sembilan perlu memperkukuh aktiviti hiliran termasuk pemprosesan, pembungkusan, penjenamaan dan pengedaran bagi memastikan lebih banyak nilai ekonomi daripada sektor agrikomoditi dapat dijana di negeri itu dan tidak hanya bergantung kepada pengeluaran bahan mentah.

 

Beliau turut mencadangkan model pertanian berasaskan kluster diperluaskan dalam kalangan pengusaha dan usahawan bagi membolehkan hasil dikumpulkan, sumber dikongsi serta aktiviti pemasaran diselaraskan dengan lebih cekap.

 

Ismail berkata, penggunaan teknologi bersesuaian termasuk mekanisasi juga perlu diperluaskan bagi mengurangkan kos, meningkatkan hasil, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh manual serta memudahkan operasi harian pekebun kecil.

 

“Saya juga menyeru golongan belia supaya melihat sektor agrikomoditi sebagai bidang yang menawarkan masa depan cerah. Kerajaan akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada usahawan agrikomoditi,” katanya.

 

Kesan El Niño dipantau

Dalam perkembangan berkaitan, Noraini berkata, kementerian dan agensi berkaitan sedang memantau operasi di ladang serta trend pengeluaran bagi menilai kesan fenomena El Niño terhadap sektor agrikomoditi, khususnya tanaman kelapa sawit.

 

Beliau berkata, kesan El Niño terhadap hasil tanaman komoditi lazimnya tidak berlaku serta-merta, sebaliknya hanya dapat dilihat beberapa bulan selepas tempoh cuaca panas berpanjangan dan taburan hujan berkurangan.

 

“Fenomena El Niño sememangnya boleh memberi kesan kepada tanaman komoditi sekiranya cuaca panas dan kering berpanjangan.

 

“Keutamaan kami adalah membantu pekebun kecil membuat persediaan dan mengurangkan kesan fenomena itu terhadap tanaman serta pendapatan mereka,” katanya.

 

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip baru-baru ini berkata, kebarangkalian fenomena El Niño mencapai kategori sangat kuat atau Super El Niño antara Oktober hingga Disember kini melebihi 90%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved