
SERDANG: Kerajaan memperkenalkan kempen Kebun di Rumah Sendiri (Kendiri) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan makanan serta kenaikan harga akibat ketidaktentuan geopolitik dunia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketidaktentuan geopolitik ketika ini berpotensi menjejaskan rantaian bekalan makanan dan meningkatkan kos input pertanian yang sebahagian besarnya masih bergantung kepada import.
Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan kos pengeluaran yang akhirnya memberi kesan kepada harga sayur-sayuran dan bahan makanan lain di pasaran.
“Bila rantaian bekalan terganggu, ia akan mengakibatkan kenaikan harga barang. Baja seperti urea, fosfat dan pelbagai jenis semuanya datang daripada luar.
“Kita tidak tahu berapa lama lagi akan berlaku soal pertelingkahan geopolitik ini maka persediaan perlu dibuat supaya kalau berlaku bekalan makanan terjejas, kenaikan harga dan sebagainya, kita memperbanyakkan bahan makanan itu di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kempen Kendiri sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Kendiri bukan bertujuan menggantikan keseluruhan sistem bekalan makanan negara sebaliknya menjadi sumber makanan tambahan yang dapat membantu keluarga menghadapi kemungkinan gangguan bekalan serta kenaikan harga.
Katanya, usaha menanam sayur-sayuran dan herba di rumah juga boleh membantu memastikan bekalan makanan sentiasa tersedia pada peringkat isi rumah.
“Kita mahu menyediakan payung sebelum hujan. Kita tidak mahu kalau keadaan ini berterusan, ia memberi kesan kepada bekalan, terutamanya baja dan sebagainya, menaikkan harga makanan, harga sayur meningkat, maka ia berlaku kesusahan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, panduan mengenai kaedah penanaman juga boleh diperoleh daripada Jabatan Pertanian selain berkongsi pengetahuan sesama masyarakat.
Katanya, tanaman seperti keladi, daun kari, pandan dan cili antara contoh tanaman yang boleh diusahakan dalam ruang kecil di rumah.
“Daun kari misalnya, kita nampak pokok besar, tetapi boleh tanam dalam bekas plastik yang kecil. Untuk sebuah rumah, dua atau tiga batang yang tumbuh pun sudah mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata, Kendiri berteraskan prinsip ‘Gunakan Ruang Yang Kita Ada’, yang membolehkan aktiviti menanam dilaksanakan sama ada di rumah bertanah, pangsapuri, kondominium atau ruang kediaman terhad.
Beliau berkata, kempen itu turut membawa tema ‘Tanam Apa Yang Kita Makan, Makan Apa Yang Kita Tanam’ yang bukan sahaja dapat membantu mengurangkan perbelanjaan dapur, malah mendidik generasi muda memahami proses pengeluaran makanan bermula daripada menyemai benih sehingga menuai hasil.
Ujarnya, kerajaan turut meneruskan komitmen terhadap pertanian bandar dan komuniti apabila sebanyak RM114.24 juta disalurkan sejak Program Pertanian Bandar diperkenalkan pada 2014, yang memberi manfaat kepada lebih 45,076 kebun komuniti dan 251,510 peserta di seluruh negara.
“Memasuki fasa RMK13, kerajaan meneruskan komitmen ini dengan menyediakan siling peruntukan RM30 juta khusus bagi memperkukuh projek pertanian komuniti di 1,370 lokasi yang disasarkan memberi manfaat kepada 13,700 ahli komuniti,” katanya. –UTUSAN
The post Kempen Kendiri diperkenal hadapi gangguan bekalan appeared first on Utusan Malaysia.






