Unique Fire perluas perniagaan menerusi projek solar LSS5, sasar pendapatan berulang mulai 2027

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 3:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unique Fire perluas perniagaan menerusi projek solar LSS5, sasar pendapatan berulang mulai 2027 Image from: Unique Fire perluas perniagaan menerusi projek solar LSS5, sasar pendapatan berulang mulai 2027 liza24/11/2026 - 15:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov – Unique Fire Holdings Berhad menjangkakan projek loji solar fotovolta berskala besar di bawah program Solar Berskala Besar Kelima (LSS5) mampu menyumbang pendapatan berulang kepada kumpulan itu sebaik sahaja kemudahan berkenaan mula beroperasi pada suku keempat 2027.

 

Projek yang dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, Unique HEB Energy Sdn Bhd itu merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan mempelbagaikan sumber pendapatan dengan meneroka sektor tenaga boleh baharu, selain mengembangkan perniagaan teras dalam sistem perlindungan kebakaran.

 

Dalam laporan kewangan suku kedua berakhir 30 September 2026, kumpulan memaklumkan projek solar berkenaan masih berjalan mengikut jadual, manakala pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu itu dijangka membuka peluang kepada pembentukan sumber pendapatan berulang untuk jangka panjang.

 

Bagaimanapun, kumpulan kini menanggung perbelanjaan pembangunan projek serta kos sebelum operasi menerusi Unique HEB Energy, yang antara faktor mempengaruhi prestasi keuntungan bagi tempoh kewangan semasa.

 

Perluas kapasiti, tambah penawaran produk

Selain meneroka tenaga boleh baharu, Unique Fire turut meneruskan usaha meningkatkan kapasiti operasi perniagaan teras menerusi pengambilalihan tanah perindustrian di Kota Kemuning, Shah Alam.

 

Tanah yang diperoleh pada September 2025 itu bertujuan menyokong peluasan kapasiti pada masa hadapan serta meningkatkan keupayaan operasi kumpulan dalam memenuhi permintaan terhadap produk dan sistem perlindungan kebakaran.

 

Kumpulan turut memperluas portfolio produknya menerusi usaha sama dengan Z10 Pte Ltd dan E&E Electrical Solutions Sdn Bhd bagi memasarkan penyelesaian lampu kecemasan serta papan tanda keselamatan.

 

Dalam pada itu, penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025, termasuk pelaksanaan program pensijilan Orang Kompeten bagi Pemasangan Keselamatan Kebakaran (CPFSI), dijangka menyokong permintaan terhadap peralatan keselamatan kebakaran.

 

Akta berkenaan antara lain mewajibkan pemilik premis mewujudkan organisasi keselamatan kebakaran, selain menetapkan pendaftaran kontraktor keselamatan kebakaran dan pembekal peralatan berkaitan.

 

Hasil meningkat namun keuntungan selepas cukai merosot

Dari segi prestasi kewangan, Unique Fire mencatatkan hasil RM31.73 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27), meningkat 3.07% berbanding RM30.78 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai (PAT) merosot 48.5% kepada RM1.81 juta daripada RM3.51 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) susut 39.53% kepada RM2.79 juta berbanding RM4.61 juta sebelumnya.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2027 (6MFY27), hasil kumpulan meningkat sedikit sebanyak 0.61% kepada RM61.21 juta berbanding RM60.84 juta, namun PAT turun 32.6% kepada RM3.99 juta daripada RM5.92 juta.

 

Menurut kumpulan, penurunan keuntungan disebabkan perubahan campuran jualan kepada segmen pengedaran yang mempunyai margin keuntungan lebih rendah, selain peningkatan perbelanjaan manfaat pekerja.

 

Kumpulan turut menanggung perbelanjaan sebelum operasi dan pembangunan projek yang lebih tinggi daripada Unique Mosafe Sdn Bhd serta Unique HEB Energy, yang merekodkan kerugian sebelum cukai gabungan RM270,000 pada suku dikaji berbanding keuntungan sebelum cukai RM50,000 setahun sebelumnya.

 

Kos kewangan yang meningkat susulan pinjaman bagi membiayai pengambilalihan tanah di Kota Kemuning turut memberi tekanan kepada keuntungan kumpulan.

 

Isytihar dividen interim 0.6 sen sesaham

Dalam perkembangan lain, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 0.6 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY2027).

 

Dividen berkenaan berjumlah kira-kira RM2.41 juta berdasarkan 401.53 juta saham biasa yang diterbitkan setakat 30 September 2026, dengan tarikh kelayakan pada 8 Disember 2026 dan pembayaran pada 21 Disember 2026. Sebelum ini, kumpulan membayar dividen interim pertama sebanyak 0.8 sen sesaham pada 17 Julai 2026, berjumlah RM3.2 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved