
IPOH: Seramai 11 individu termasuk enam orang penjawat awam ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Norizan Riduan terhadap tujuh lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun di Mahkamah Majistret Ipoh, di sini hari ini.
Majistret Norizan membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kesemua individu berkenaan bermula hari ini hingga Isnin depan.
Tempoh reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas kesemua suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, semua suspek yang dibawa menaiki kenderaan SPRM tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.15 pagi sebelum dibawa keluar pada pukul 11 pagi.
Semalam, kesemua suspek yang terdiri daripada empat ejen dan enam anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu ditahan kira-kira pukul 10 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Menurut sumber, kesemua individu yang ditahan itu disyaki berpakat mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan yang melibatkan 16 nombor pendaftaran kepada JPJ.
Katanya, siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dipercayai berlaku sekitar tahun 2025, dengan ejen-ejen berkenaan disyaki berpakat dengan penjawat awam bagi mengemukakan dokumen palsu.
“Dokumen palsu itu dipercayai digunakan bagi membolehkan proses pertukaran hak milik kenderaan dilakukan secara tidak sah,” katanya. – UTUSAN
The post Kemuka dokumen palsu, enam penjawat awam, empat ejen direman appeared first on Utusan Malaysia.






