amree31/07/2026 - 11:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai — Kenaikan ketara harga saham Steel Hawk Berhad akhir-akhir ini menyebabkan potensi peningkatan semakin terhad, dan mendorong TA Securities menurunkan saranan kepada 'jual'.
Firma itu namun menilai positif usaha kumpulan mengembangkan perniagaan melalui pengambilalihan syarikat kejuruteraan minyak dan gas (O&G) yang mampu mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang.
Ia merujuk pemeteraian pemerolehan 55% ekuiti dalam Sparksfly O&G Sdn Bhd pada nilai tunai RM1.1 juta, dengan transaksi itu dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2026 menggunakan dana dalaman.
"Syarikat ini terlibat dalam perkhidmatan kejuruteraan, fabrikasi serta sokongan luar pesisir bagi industri O&G, melengkapkan keupayaan Steel Hawk untuk sektor tersebut," kata nota TA Securities
Pengambilalihan itu selari dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mempelbagaikan perniagaan dan memperkukuhkan keupayaan kejuruteraan, serta membuka peluang pelanggan serta projek baharu.
Dari sudut penilaian, harga pengambilalihan kira-kira 7.1 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY25, serta dianggap setanding dengan syarikat-syarikat perkhidmatan O&G tempatan tersenarai.

Walaupun Steel Hawk membayar premium kecil berbanding nilai aset bersih Sparksfly, TA Securities berpandangan ia wajar memandangkan nilai pemerolehan pegangan kawalan dan potensi sinergi operasi.
"Bagaimanapun, impak kewangan transaksi itu dijangka minimum dalam tempoh terdekat dan usaha ini hanya menyumbang margin RM160,000 atau 1.3% daripada unjuran keuntungan bersih FY27," jelasnya.
Selain itu, kedudukan kewangan kumpulan dijangka kekal stabil apabila nisbah penggearan bersih meningkat daripada 1.12 kali kepada 1.14 kali, menunjukkan masih ada fleksibiliti pengembangan.
Justeru, TA Securities mengekalkan unjuran hasil Steel Hawak yang sedia ada kerana pengambilalihan berkenaan dijangka tidak memberi sebarang kesan material ketara kepada prestasi sepanjang FY26.
Dari segi penilaian, ia mengekalkan harga sasaran (TP) 21 sen sesaham berdasarkan 8.5 kali hasil sesaham (EPS) CY27, namun mengambil kira kenaikan harga saham yang mengecilkan ruang kenaikan.
"Oleh itu, walaupun prospek jangka panjang semakin baik susulan pengembangan segmen kejuruteraan dan perkhidmatan O&G, kami menurunkan saranan saham daripada 'pegang' kepada 'jual'," katanya.
Kata TA Securities, penyusutan syor tersebut berikutan penilaian semasa saham Steel Hawk yang disifatkan sudah mencerminkan sebahagian besar potensi pertumbuhan syarikat. - DagangNews.com






