
BANGI: Pernah ponteng latihan dan memilih melakukan kerja lain namun segala kenakalan itu tidak menghalang atlet pencak silat Kedah, Muhammad Fayyadh Zaid Ali Zaker Ali menutup saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan kejayaan meraih pingat emas.
Fayyadh, 20, mengakui dirinya sebelum ini sering menyusahkan barisan jurulatih kerana ada kalanya tidak menghadiri latihan dan melakukan kerja lain.
“Saya banyak menyusahkan mereka, menyusahkan barisan jurulatih. Saya budak paling buas sekali dalam pasukan.
“Kadang-kadang saya tak turun berlatih, adakalanya saya sibuk dengan urusan lain. Saya banyak memberi masalah,” katanya selepas aksi final di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), hari ini.
Bagaimanapun, jiwa silat yang menebal dalam dirinya membuatkan Fayyadh tidak pernah terfikir untuk meninggalkan sukan berkenaan, sekali gus membuktikan potensinya apabila menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Muhammad Afiq Faris Fadzlan 64-41 dalam final kategori putera Kelas J bawah 95 kilogram (kg).
Lebih bermakna, kejayaan itu hadir selepas Fayyadh melalui kehilangan ibunya yang meninggal dunia akibat sakit perut pada Oktober dua tahun lalu.
Air matanya mengalir selepas kemenangan itu apabila mengenangkan pengorbanan serta sokongan keluarga dan jurulatih yang sentiasa berada di belakangnya.
“Mak saya tak ada masa saya tengah berlatih dan disebabkan…mak saya meninggal, saya terus berusaha, akhirnya ini tanda kejayaan saya, dapat pingat emas.
“Alhamdulillah saya syukur sangat-sangat dan saya nak berterima kasih kepada jurulatih Ahmad Faisal Omar yang melatih saya sendiri. Saya dah banyak menyusahkan dia dari mula saya masuk sampailah masa ini,” katanya. – UTUSAN
The post Kenakalan tak halang Fayyadh raih emas SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.



