Sukma 2026: ‘Budak nakal’ takluk gelanggang silat

19 Aug 2026 • 5:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: ‘Budak nakal’ takluk gelanggang silat

PESILAT Kedah, Muhammad Fayyadh Zaid Ali Zaker Ali menebus sikap ‘nakal’ yang dibuat selama ini apabila berjaya memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 menerusi kategori putera kelas J 90-95 kilogram (kg).

Lebih manis, atlet kelahiran Gurun itu merupakan satu-satunya pesilat lelaki Kedah yang berjaya melayakkan diri ke pentas akhir sebelum menewaskan Muhammad Afiq Faris Fadzlan dari Wilayah Persekutuan dengan keputusan 64-41.

Fayyadh berkata, kemenangan itu menjadi lebih bermakna kerana berjaya menghadiahkan kegembiraan buat semua insan terdekat, termasuk keluarga serta jurulatih yang sentiasa berada di belakangnya.

“Saya sangat gembira kerana dapat menghadiahkan pingat emas kerana sudah banyak menyusahkan emak dan ayah saya serta jurulatih. Saya terus bekerja keras dan ia membuahkan hasil apabila memenangi pingat emas.

“Saya bersyukur dengan kejayaan ini kerana saya sebenarnya seorang yang nakal. Kadang-kadang saya tidak turun latihan dan pergi ke tempat lain, jadi banyak bagi masalah kepada jurulatih (Ahmad Faisal Omar),” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.

Kemenangan itu turut memberi makna cukup besar kepada Fayyadh apabila menerima hadiah sepasang kasut berharga RM800, sekali gus menambah kemanisan atas kejayaannya menyumbang pingat emas buat Kedah.

Pada masa sama, atlet berusia 20 tahun itu turut menyuarakan hasrat untuk menembusi skuad kebangsaan dan mewakili Malaysia ke kejohanan serta temasya lebih besar di pentas antarabangsa.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, saya nak pergi main (serta skuad kebangsaan). Kalau ada sesiapa yang panggil saya, saya akan cuba berikan yang terbaik,” ujar Fayyadh yang menganggap dirinya merupakan seseorang berjiwa silat. – KOSMO! ONLINE

 

The post Sukma 2026: ‘Budak nakal’ takluk gelanggang silat appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved