Ainun tutup tirai SUKMA dengan emas

19 Aug 2026 • 12:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ainun tutup tirai SUKMA dengan emas

BANGI: Atlet pencak silat Terengganu, Nor Ainun Mokhtar menutup penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan penuh gemilang apabila meraih pingat emas dalam kategori puteri Kelas E bawah 70 kilogram (kg).

Ainun merupakan atlet elit kebangsaan, tidak berdepan masalah untuk menewaskan pencabar dari Kelantan, Nik Nurul Kamilia Atikah Nik Mohd Iruan dengan keputusan 33-3 pada aksi final di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), hari ini.

Kemenangan itu merupakan pingat emas kedua buat Ainun sepanjang penyertaannya di pentas SUKMA, sekali gus menjadi penutup sempurna selepas memenangi emas pada penampilan pertamanya di SUKMA Sarawak 2024.

“Syukur alhamdulillah, pada SUKMA pertama saya di Sarawak saya mendapat pingat emas dan penutup kali ini pun dapat emas. Syukur, itu saja yang boleh saya cakap dan terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ainun, laluan ke final kali ini bukan mudah selepas mengalami kecederaan pada kedua-dua bahunya ketika aksi pusingan awal menentang atlet Sabah.

“Saya cedera di bahu kanan dan kiri ketika perlawanan pusingan awal menentang atlet Sabah. Saya terpaksa beraksi sambil menahan kesakitan.

“Jadi, saya perlu menguruskan kecederaan itu dengan baik supaya saya dapat bertahan sehingga tamat kejohanan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ainun kini mengalihkan fokus kepada dua kejohanan antarabangsa yang bakal disertainya tahun ini, iaitu Terbuka Indonesia pada September ini disusuli Kejohanan Dunia Pencak Silat di Tashkent, Uzbekistan, pada Disember.

“Saya harap dapat melakukan yang terbaik dan insya-Allah mendapatkan pingat emas di Kejohanan Dunia pada Disember ini,” katanya. – UTUSAN

The post Ainun tutup tirai SUKMA dengan emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved