Sunway REIT catat pendapatan hartanah bersih RM116.2 juta bagi 2QFY23, isytihar DPU 4.62 sen

Business & FinanceProperty
17 Aug 2023 • 6:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunway REIT catat pendapatan hartanah bersih RM116.2 juta bagi 2QFY23, isytihar DPU 4.62 sen

diyana

17/08/2023 - 18:41

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pendapatan hartanah bersih Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) meningkat 9% kepada RM116.2 juta daripada RM106.9 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong terutamanya segmen hotel.

Pendapatannya pada suku dalam tinjauan turut meningkat 15% kepada RM166.5 juta berbanding RM144.5 juta setahun lalu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Sunway REIT berkata pertumbuhan kukuh dalam suku semasa didorong terutamanya oleh prestasi cemerlang daripada segmen hotel yang mencatat lonjakan pendapatan hampir tiga kali ganda kepada RM17.5 juta daripada RM6 juta pada suku kedua tahun lalu.

Tambahnya, pendapatan daripada segmen runcit berdaya tahan, di samping kestabilan prestasi segmen pejabat, perkhidmatan dan perindustrian dan lain-lain.

Bagi separuh pertama tahun ini, Sunway REIT merekodkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 17% berjumlah RM349 juta, manakala pendapatan hartanah bersih meningkat 13% kepada RM254.5 juta.

Sunway REIT turut mengisytiharkan pengagihan seunit (DPU) sebanyak 4.62 sen seunit bagi separuh pertama tahun ini yang akan dibayar pada 15 September.

Mengulas tentang prestasi Sunway REIT, Ketua Pegawai Kewangan Pengurus, Ng Bee Lien, berkata DPU berkenaan adalah berikutan prestasi mantap daripada segmen runcit dan hotel pada separuh pertama tahun ini.

“Berdasarkan pemulihan sektor pelancongan yang berterusan kukuh, kami gembira menyaksikan perkembangan positif dalam segmen hotel yang meningkat tiga kali ganda, di samping trend peningkatan purata kadar penghunian di seluruh hartanah hotel kami pada suku semasa.

“Kami kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap momentum pertumbuhan yang mampan untuk segmen hotel pada separuh kedua 2023,” ujar beliau.

Saham Sunway REIT ditutup tidak berubah pada RM1.50 hari ini dengan permodalan pasaran sebanyak RM5.1 bilion. - DagangNews.com