JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor berjaya menggagalkan cubaan penyelewengan petrol RON95 melibatkan sebuah kenderaan berpendaftaran asing dipercayai dari Singapura dalam operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini pada Khamis.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kejadian dikesan ketika pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan statik di sebuah stesen minyak kira-kira jam 10 malam.
Menurutnya, hasil pemerhatian mendapati kenderaan berpendaftaran asing tersebut sedang mengisi petrol RON95 ke dalam tangki sebelum tindakan segera diambil.
“Pegawai penguat kuasa menahan pemandu kenderaan itu daripada meneruskan pengisian petrol.
"Pemeriksaan lanjut turut dijalankan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), resit pembelian serta rakaman percakapan pekerja stesen minyak,” katanya dalam kenyataan.
**media[3487559]**
Lilis Saslinda berkata, hasil siasatan awal mengesahkan transaksi tersebut melibatkan petrol RON95 yang merupakan barang kawalan bersubsidi.
Susulan itu, pihak KPDN Johor menyita sebuah kenderaan, rakaman CCTV, salinan resit pembelian serta dokumen berkaitan.
"Seorang lelaki warganegara asing berusia lingkungan 50-an yang juga pemilik kenderaan berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membeli petrol RON95 menggunakan kenderaan berpendaftaran asing," katanya.
Berkuat kuasa 1 April 2026, pemandu kenderaan berpendaftaran asing yang membeli petrol RON95 bakal berdepan tindakan undang-undang.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, langkah tersebut merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak.

